Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Pertembungan antara Elon Musk dan Sam Altman kini memasuki fasa serius apabila kedua-duanya terlibat dalam pertempuran undang-undang di Amerika Syarikat.
Konflik ini berpotensi mengubah hala tuju OpenAI dan masa depan industri kecerdasan buatan (AI) secara keseluruhan.
Segalanya bermula daripada perubahan struktur OpenAI. Ditubuhkan pada 2015 sebagai organisasi bukan berasaskan keuntungan, syarikat itu kemudian beralih kepada model “capped-profit” pada 2019 sebelum bergerak ke arah struktur lebih komersial.
Peralihan ini membolehkan pelaburan besar masuk, termasuk kerjasama rapat dengan Microsoft, tetapi dalam masa sama mencetuskan persoalan tentang misi asal OpenAI.
Musk mendakwa perubahan ini melanggar janji awal, di mana pembangunan Artificial General Intelligence (AGI) sepatutnya bersifat terbuka dan memberi manfaat kepada manusia sejagat.
Beliau menuduh OpenAI telah menyimpang daripada tujuan asal dan bertukar menjadi entiti yang mengejar keuntungan, termasuk melalui pelesenan teknologi kepada Microsoft seperti Copilot.
Musk turut memfailkan beberapa dakwaan serius termasuk pelanggaran kontrak, pengiklanan mengelirukan dan amalan perniagaan tidak adil.
Dalam tuntutan itu, Musk bukan sahaja mahu struktur keuntungan OpenAI dibatalkan, malah menuntut ganti rugi mencecah AS$130 bilion serta penyingkiran Altman dan Greg Brockman daripada kepimpinan entiti berorientasikan keuntungan.
Kes ini dilihat sebagai ujian besar kepada industri AI, sama ada teknologi masa depan akan kekal sebagai aset terbuka untuk semua, atau terus bergerak sebagai produk komersial bernilai tinggi yang dikawal syarikat gergasi.

























































