Harga Minyak Merosot, Kelemahan Ekonomi China Padam Keyakinan Terhadap Rancangan Trump

434

Dagangan minyak mentah kembali merosot setelah kelemahan dalam data pertumbuhan ekonomi China menunjukkan kesan daripada pandemik coronavirus, memadamkan keyakinan terhadap rancangan pembangunan semula ekonomi Amerika Syarikat oleh Presiden Donald Trump.

Niaga hadapan minyak mentah Brent yang pada mulanya melonjak lebih 2%, kembali diniagakan menyusut kepada $27.80 setong, sementara WTI Amerika Syarikat pula merosot sebanyak 1.4% kepada $18.45 setong.

Ekonomi China menguncup buat kali pertama sejak 1992 pada suku pertama 2020, disebabkan kelumpuhan dalam pengeluaran dan perbelanjaan sehingga turut menjejaskan permintaan minyak global.

Harga minyak pada awalnya meningkat disokong oleh keyakinan mengenai rancangan pembangunan semula ekonomi AS oleh Trump yang menetapkan garis panduan kepada gabenor negeri-negeri melalui proses 3 fasa.

Selain itu, Arab Saudi dan Rusia pula memberi isyarat mengenai kesediaan mereka untuk pemotongan pengeluaran yang lebih mendalam selepas mencapai kesepakatan dalam rundingan bersama OPEC+ baru-baru ini.

Setelah berhubung melalui satu panggilan telefon, kedua-dua menteri tenaga memberitahu bahawa mereka akan memantau dengan lebih dekat mengenai pasaran minyak dan bersedia untuk mengambil langkah selanjutnya bersama OPEC+ dan negara pengeluar lain jika diperlukan.

Bagaimanapun, dengan kelemahan data pertumbuhan ekonomi China, harga minyak mentah kembali menyusut ditekan oleh kebimbangan mengenai impak coronavirus kepada ekonomi global mungkin lebih besar daripada yang dijangkakan.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat