Ringgit Dibuka Tinggi Berbanding USD, Inflasi AS Semakin ‘Jinak’

109

Ringgit dibuka positif berbanding mata wang dolar AS pada pembukaan minggu ini berikutan data inflasi AS mula akur dengan sasaran pasaran dan memberi kelebihan buat mata wang tempatan.

Tepat jam 10 pagi, ringgit mengukuh pada 4.6900 berbanding mata USD daripada ia ditutup Jumaat pada 4.7050.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Afzanizam berkata laporan Indeks ISM dalam sektor pembuatan jatuh di bawah paras 50 mata dan menyamai posisi untuk bulan kedua berturut-turut pada 48.7 mata pada Mei.

Kejatuhan itu mendorong kepada hasil Perbendaharaan AS yang lebih rendah dengan hasil nota dua dan 10 tahun masing-masing kepada 4.81% dan 4.39%.

Katanya, ini akan meningkatkan harapan penurunan kadar faedah pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada 11 dan 12 Jun nanti dan memberi sokongan yang baik buat mata wang ringgit.

Sementara itu, ringgit didagangkan rendah berbanding kumpulan mata wang utama dunia.

Unit tempatan itu jatuh berbanding euro kepada 5.1134/1210 daripada 5.1035/1068 pada penutup Jumaat, susut berbanding pound Britain kepada 6.0037/0127 daripada 5.9876/9914 dan susut nilai berbanding yen Jepun kepada 2.9962/3.0008 daripada 2.9901/9922.

Selain itu, ringgit bercampur-campur berbanding rakan rantau Asean lain.

Ia susut berbanding baht Thailand kepada 12.8071/8322 daripada 12.7860/7994 pada penutup Jumaat dan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.4817/4871 daripada 3.4803/4828.

Namun, unit tempatan menambah nilai berbanding rupiah Indonesia kepada 288.6/289.2 daripada 289.4/289.7 sebelum ini dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.98/8.01 daripada 8.03/8.05. – Bernama

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat