Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Kerajaan Malaysia telah mencatat penjimatan sebanyak RM800 juta sejak pelaksanaan program Budi Madani RON95 (BUDI95) bermula pada 30 September lalu, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, penjimatan ini dicapai melalui penyasaran subsidi minyak yang lebih tepat, memastikan hanya warganegara Malaysia layak menikmati subsidi tersebut. Langkah ini berjaya mengekang ketirisan yang sebelum ini melibatkan lebih 3.5 juta warga asing serta aktiviti penyeludupan puluhan ribu liter minyak ke luar negara.
“Setiap hasil penjimatan daripada program ini akan dikembalikan kepada rakyat melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA). Selain itu, dana tersebut turut digunakan untuk menaik taraf kemudahan kesihatan seperti klinik dan hospital, memperbaiki jalan raya serta memperkukuh infrastruktur negara,” kata beliau dalam hantaran di Facebook hari ini.
Tambah beliau, usaha penyasaran subsidi minyak ini telah dibincangkan lebih 20 tahun oleh kerajaan sebelum ini, namun tiada pihak yang mempunyai keberanian dan tekad politik untuk melaksanakannya sehingga kerajaan MADANI mengambil inisiatif melaksanakan BUDI95.
Di bawah program BUDI95, semua pemegang MyKad warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas dengan lesen memandu aktif layak membeli RON95 bersubsidi sehingga 300 liter sebulan pada harga RM1.99 seliter, berbanding harga pasaran RM2.60 seliter tanpa subsidi.
Sumber: BERNAMA























































