Satu draf perjanjian damai komersial dan ketenteraan sebanyak 14 perkara antara Amerika Syarikat dan Iran dilaporkan bakal ditandatangani di Switzerland seawal hari Ahad ini. Berita mengejut yang mula didedahkan oleh agensi berita Mehr ini muncul ketika para pemimpin dunia bersiap sedia menghadiri Sidang Kemuncak G7 di Evian, Perancis minggu hadapan.
Terma draf dokumen tersebut menetapkan syarat ketat di mana rundingan akhir hanya akan bermula selepas Washington melepaskan separuh daripada dana antarabangsa Iran yang dibekukan serta membatalkan sekatan laut penuh. Sebagai imbalan, rejim Tehran memberi komitmen rasmi untuk membuka semula laluan Selat Hormuz secara total dalam tempoh 30 hari.
Draf MoU itu turut menggariskan tuntutan agresif di mana semua angkatan tentera AS wajib berundur dari sempadan Iran. Malah, White House bersama sekutu baratnya dikehendaki membentangkan pelan pembiayaan pembinaan semula infrastruktur bernilai sekurang-kurangnya $300 bilion bagi memulihkan semula bandar-bandar Iran yang terjejas akibat siri pengeboman sejak Februari lepas.
Presiden Donald Trump mengesahkan perkembangan ini dengan mendakwa Amerika Syarikat bakal mencapai rundingn bersama dengan Tehran, tertakluk kepada dokumentasi akhir. Trump turut mengesahkan telah mengadakan rundingan rahsia bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, bagi memastikan draf akhir itu mengehadkan keupayaan senjata nuklear rejim.
Pengumuman draf ini mencetuskan lonjakan di pasaran kewangan global pada hari Jumaat. Indeks saham pan-Eropah Stoxx 600 melonjak 1.8%, manakala pasaran komoditi menarik nafas lega apabila harga minyak mentah antarabangsa jenis Brent susut 1.75% ekoran unjuran pulihnya rantaian bekalan 25% petroleum maritim dunia yang sebelum ini tersekat di Selat Hormuz.
























































