Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Ekonomi Amerika Syarikat menunjukkan pemulihan dengan pertumbuhan KDNK suku pertama meningkat kepada 2%, bangkit daripada prestasi hambar 0.5% pada suku sebelumnya. Walaupun pecutan ini dibantu oleh perbelanjaan kerajaan dan pelaburan dalam sektor AI, angka tersebut masih berada di bawah unjuran awal ahli ekonomi sebanyak 2.2%.
Waima begitu, pemulihan ini dibayangi oleh tekanan inflasi yang kian memuncak akibat konflik ketenteraan di Iran. Penutupan Selat Hormuz telah menyebabkan harga tenaga melambung, sekali gus menolak inflasi PCE tahunan bagi bulan Mac kepada 3.5%, manakala harga petrol di pam kini melebihi paras $4 segelen.
Data PCE Teras bulanan menunjukkan kenaikan stabil 0.3%, selaras dengan ramalan pasaran. Walau bagaimanapun, pada asas suku tahunan, PCE Teras melonjak kepada 4.3%, melebihi jangkaan 4.1%. Penganalisis menyifatkan tahap inflasi ini sebagai ‘sesuatu membimbangkan’ bagi Rizab Persekutuan.
Perbelanjaan pengguna dikesan mula menyusut sejak perang tercetus pada akhir Februari akibat kos sara hidup yang meningkat. Walaupun sektor AI membantu mengimbangi impak tersebut, penganalisis meramalkan penggunaan domestik akan terus perlahan sekiranya harga bahan api tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan dalam masa terdekat.
Dolar AS kekal menjadi pilihan pelabur sebagai aset selamat (safe haven) di tengah krisis tenaga global. Status AS sebagai pengeksport tenaga utama memberikan sedikit perlindungan ekonomi, namun kestabilan jangka panjang bergantung kepada keupayaan Fed mengawal inflasi teras yang kini menunjukkan trend meningkat.

























































