Harga emas melanjutkan rentak kejatuhannya memasuki dagangan hari keempat walaupun pemain pasaran melihat potensi kenaikan harga di tengah-tengah potensi pemotongan kadar. Kini, para pelabur akan terus memantau rapat pertemuan Presiden AS Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping di Beijing.
Pada jam 9.30 pagi, harga emas didagangkan pada paras $4,611 iaitu turun 0.87% sejak ia dibuka pada awal dagangan Jumaat di sesi Asia.
Donald Trump dan Xi Jinping menyeru hubungan lebih stabil antara Amerika Syarikat dan China ketika kedua-dua pemimpin memulakan sidang kemuncak dua hari di Beijing pada Khamis.
Pertemuan itu dijangka memberi tumpuan kepada beberapa isu utama termasuk tarif perdagangan, kecerdasan buatan (AI) dan ketegangan geopolitik global.
Xi turut memberi bayangan bahawa China mahu memperluaskan kerjasama ekonomi dengan syarikat Amerika Syarikat apabila menegaskan pintu ekonomi negara itu akan terus dibuka lebih luas kepada pelabur asing.
Kenyataan tersebut dilihat sebagai usaha Beijing menarik keyakinan pelabur global di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi dan perdagangan dunia.
Dalam perkembangan lain, Trump memaklumkan bahawa Xi menawarkan bantuan untuk meredakan konflik di Asia Barat dan berikrar tidak akan membekalkan peralatan ketenteraan kepada Iran.
China juga dilaporkan mahu melihat Selat Hormuz dibuka semula sepenuhnya memandangkan laluan strategik itu memainkan peranan penting terhadap bekalan tenaga global.
Pasaran kini cuba menilai kemungkinan berakhirnya ketegangan di Timur Tengah yang berpotensi mengurangkan risiko gangguan bekalan minyak dunia. Pembukaan semula Selat Hormuz secara penuh boleh membantu menstabilkan pasaran tenaga global dan mengurangkan tekanan inflasi yang berpunca daripada kenaikan harga minyak.
Dalam masa sama, data ekonomi Amerika Syarikat terus menunjukkan tekanan inflasi yang tinggi. Inflasi Indeks Harga Pengeluar (PPI) AS meningkat pada kadar terpantas sejak 2022, manakala Indeks Harga Pengguna (CPI) mencatat kenaikan tertinggi sejak 2023.
Perkembangan itu mengukuhkan jangkaan bahawa Federal Reserve akan mengekalkan kadar faedah tinggi bagi tempoh lebih lama untuk mengawal inflasi.
Situasi tersebut lazimnya memberi tekanan kepada emas kerana logam berharga itu tidak menawarkan pulangan faedah, walaupun permintaan terhadap aset selamat masih disokong oleh ketidaktentuan geopolitik global.





















































