Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Harga emas dilihat semakin sukar menembusi $4,900 sejak beberapa minggu lepas, terkini pemain pasaran sedang menghadam laporan ketegangan baharu antara Amerika Syarikat dan Iran mengenai Selat Hormuz.
Pada jam 10 pagi, harga emas berada pada paras $4,803 iaitu turun 0.54% sejak ia dibuka pada awal dagangan Isnin di sesi Asia.
Laporan daripada Bloomberg menyatakan Iran menafikan penyertaannya dalam rundingan damai baharu dengan Amerika Syarikat.
Penafian itu dibuat hanya beberapa jam selepas Presiden Donald Trump memaklumkan bahawa wakil perunding AS akan ke Pakistan bagi meneruskan pusingan kedua rundingan.
Dalam perkembangan sama, Iran mengumumkan penutupan Selat Hormuz kepada semua kapal komersial. Tentera Iran turut memberi amaran bahawa sebarang kapal yang menghampiri laluan tersebut akan menjadi sasaran, selagi sekatan tentera laut AS ke atas pelabuhan Iran tidak ditarik balik.
Situasi ini meningkatkan lagi ketegangan geopolitik di rantau Timur Tengah.
Dalam masa yang sama, jangkaan terhadap penurunan kadar faedah AS semakin berubah kepada pendirian “higher for longer”.
Ini didorong oleh tekanan inflasi yang masih berterusan serta ketidaktentuan geopolitik semasa. Walaupun emas sering menjadi aset selamat ketika krisis, kadar faedah yang tinggi mengurangkan daya tarikannya kerana ia tidak menawarkan pulangan faedah.
Fokus pasaran kini beralih kepada laporan Jualan Runcit AS yang akan dikeluarkan pada Selasa. Data tersebut dijangka meningkat sebanyak 1.3% bulan ke bulan bagi Mac, berbanding 0.6% pada Februari.
Namun, sekiranya angka sebenar menunjukkan tekanan inflasi yang lebih rendah, ia berpotensi melemahkan Dolar AS dan seterusnya menyokong kenaikan harga komoditi berasaskan USD.





















































