Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump baru-baru ini menggunakan insiden cubaan serangan ke atas dirinya sebagai naratif politik untuk menunjukkan bahawa kepimpinannya ‘berkuasa’ dan memberi kesan besar selepas satu cubaan serangan berlaku ketika beliau menghadiri majlis makan malam di White House yang dihadiri kira-kira 2,600 orang.
Dalam kejadian terbaru di White House, Trump tampil kurang sejam selepas insiden berlaku dan menyatakan bahawa hanya individu yang memberi impak besar akan menjadi sasaran serangan.
Kenyataan itu segera mencetuskan pelbagai reaksi, dengan penyokong melihatnya sebagai simbol kekuatan, manakala pengkritik menganggap ia cubaan memanipulasi situasi demi kepentingan politik.
Trump sememangnya dikenali sebagai tokoh yang bijak mengawal naratif.
Setiap krisis sering dijadikan peluang untuk menonjolkan dirinya sebagai pemimpin berani, kebal tekanan dan sentiasa menjadi sasaran kerana kejayaannya.
Strategi itu pernah memberi kelebihan besar kepadanya ketika musim pilihan raya lalu.
Dalam masa sama, beliau turut mengaitkan kejadian tersebut dengan cadangan pembinaan dewan baharu bernilai $400 juta, yang menurutnya lebih selamat dengan ciri seperti bumbung kalis dron dan kaca kalis peluru, serta mampu menampung 650 tetamu di Rumah Putih.
Kritikan bagaimanapun timbul apabila ramai melihat kenyataan itu lebih kepada agenda politik berbanding penyelesaian sebenar.
Ini bukan kali pertama Trump berdepan insiden seperti ini.
Pada Julai 2024, beliau cedera dalam satu cubaan serangan di Butler, Pennsylvania, manakala pada September 2024, satu lagi insiden berlaku di Florida berhampiran padang golf miliknya.
Walaupun Trump pada awalnya menyeru rakyat supaya bertenang dan menyelesaikan perbezaan secara aman, beliau kemudian kembali menggunakan insiden itu untuk menegaskan bahawa pentadbirannya sedang melakukan perubahan besar.
Bagi penyokong tegar, Trump dilihat sebagai simbol ketahanan dan keberanian.
Namun bagi lawan politik, beliau sekadar mahir menukar drama menjadi modal kempen.




























































