Ethereum kini berdepan tekanan jualan yang semakin kuat selepas gagal mempertahankan paras penting $2,150.
Ketika artikel ini ditulis, harga Bitcoin berada di paras $2,132.32 iaitu positif 0.18% sejak ia dibuka pada awal dagangan Selasa di sesi Asia.
Kejatuhan ini berlaku ketika pasaran kripto kembali tidak menentu, ditambah pula dengan aktiviti luar biasa daripada ‘whale’ atau pemegang besar Ethereum.
Menurut data CryptoOnchain, lebih 225,000 ETH telah dipindahkan ke Binance dalam tempoh sehari, menjadikannya aliran masuk terbesar ke bursa itu sejak 2022.
Situasi ini dianggap membimbangkan kerana jumlah ETH yang begitu besar biasanya disimpan dalam cold wallet dan jarang dipindahkan kecuali untuk tujuan tertentu.
Penganalisis melihat terdapat tiga kemungkinan utama di sebalik perpindahan besar-besaran ini.
Pertama, whale mungkin mahu mengambil keuntungan selepas Ethereum mencatat kenaikan sejak kejatuhan Februari lalu. Jika banyak ETH dijual serentak, ia boleh memberi tekanan besar kepada harga pasaran.
Kemungkinan kedua ialah aktiviti pengimbangan semula portfolio. Pelabur institusi mungkin memindahkan aset mereka ke bursa untuk menukar strategi pelaburan dalam keadaan pasaran yang semakin tidak stabil.
Ketiga, ETH itu mungkin digunakan sebagai cagaran untuk posisi derivatif berleveraj tinggi. Walaupun tidak semestinya bearish, penggunaan leverage boleh meningkatkan risiko turun naik harga secara agresif jika pasaran bergerak bertentangan.
Apa pun sebabnya, kemasukan 225,000 ETH ke Binance memberi isyarat bahawa bekalan Ethereum yang sebelum ini tidak aktif kini tersedia untuk dijual atau digunakan dalam pasaran.
Ini boleh meningkatkan tekanan jualan dan menyebabkan pergerakan harga menjadi lebih liar dalam tempoh terdekat.
ETH juga masih berada jauh di bawah purata pergerakan 200 hari, menunjukkan trend keseluruhan masih lemah walaupun pernah cuba membuat pemulihan sebelum ini.
Paras $2,050 hingga $2,100 kini menjadi zon sokongan penting.
Jika Ethereum gagal bertahan di kawasan ini, harga berpotensi turun semula ke zon $1,900 hingga $2,000, iaitu kawasan di mana pembeli sebelum ini kembali aktif selepas kejatuhan besar pada Februari lalu.





















































