Perbalahan antara China dan Australia berterusan selepas Beijing mengumumkan pada hari Khamis ia telah membuat aduan mengenai isu Canberra ke Organisasi Perdagangan Dunia (WTO).
Aduan itu dibuat untuk mencabar tindakan anti-lambakan Australia terhadap sejumlah barang dari China, termasuk roda kereta api, turbin angin, dan produk sinki keluli tahan karat.
Langkah itu dilihat sebagai ‘perlakuan timbal balik’ oleh pihak China setelah Australia mengatakan pihaknya telah mengadukan secara rasmi mengenai tarif China terhadap eksport wain Australia pada minggu lepas.
Menruut kenyataan jurucakap Kementerian Perdagangan China, langkah itu dibuat bertujuan untuk melindungi hak dan kepentingan sah syarikat-syarikat di negara itu.
Beliau berharap supaya Australia akan mengambil tindakan untuk memperbaiki amalannya yang salah, menghindari penyelewengan dalam perdagangan produk yang berkaitan, dan membawa kembali perdagangan tersebut ke landasan normal secepat mungkin.
Terdahulu, Australia telah mengenakan tarif pada roda kereta api dan turbin angin buatan China sejak 2019.
Sementara China pula, telah mengumumkan tarif hingga 218% untuk wain Australia, yang dikatakan ‘dibuang’ ke pasaran China dengan harga subsidi pada bulan November.
Tindakan itu hampir menutup pasaran wain luar negara terbesar di Australia, dengan penjualan turun dari A$ 1.1 bilion (AS $ 840 juta) kepada hanya A$ 20 juta, menurut angka rasmi.
Hubungan antara dua negara semakin buruk sejak tahun lalu, setelah Australia menggesa Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menjalankan siasatan ke atas China mengenai asal-usul coronavirus.