Perbezaan Pendapat Yang Serius Punca Rundingan UK-EU Berakhir Lebih Awal

347

Rundingan perdagangan antara UK dan Kesatuan Eropah (EU) berakhir lebih awal apabila ketua perunding EU, Michel Barnier mengeluh mengenai kurangnya rasa hormat dan penglibatan oleh kerajaan Britain.

Rundingan pertama yang diadakan secara bersemuka sejak tercetusnya wabak coronavirus ditamatkan lebih awal sehari, di mana ia sepatutnya berakhir pada Jumaat. Kedua-dua pihak dikatakan tidak dapat mencapai kesepakatan berikutan perselisihan pendapat yang ‘serius’.

Menurut Barnier, matlamat EU adalah untuk mendapatkan rundingan dengan jayanya dan berusaha untuk mencapai kesepakatan, tetapi selepas empat hari perbincangan dijalankan perbezaan pendapat yang besar masih wujud.

Sementara itu, ketua perunding UK David Frost pula memberitahu bahawa rundingan yang dijalankan adalah komprehensif dan bermanfaat. Namun, mereka juga menekankan mengenai perbezaan besar yang masih wujud antara kedua-dua pihak terhadap beberapa isu penting.

UK dikatakan kekal komited dalam usaha untuk mendapatkan kesefahaman bersama ke atas isu-isu yang digariskan dalam rundingan tersebut sepanjang ia berlangsung pada bulan ini, seperti mana yang dipersetujui ketika mesyuarat 15 Jun lalu.

Kedua-dua pihak berusaha untuk mendapatkan kesepakatan dalam perjanjian perdagangan bebas sebelum UK meninggalkan EU secara rasmi setelah berakhirnya tempoh peralihan Brexit pada 31 Disember 2020.

Rundingan bagi peringkat seterusnya akan disambung semula pada minggu depan di London.

Dalam pada itu, Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen memberi amaran kepada perniagaan EU untuk bersedia untuk menghadapi kemungkinan kegagalan kesepakatan antara dua pihak. Ini kerana beliau melihat jurang antara EU dan UK masih jauh untuk mencapai kesepakatan rundingan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat