Pada minggu lepas, dilaporkan pengeluar stablecoin USDT, Tether telah membeku sejumlah besar aset tersebut bernilai lebih $1 juta (sekitar RM4 juta).
USDT itu dikatakan dimiliki oleh alamat wallet tunggal seorang individu dan pembekuan dilakukan menggunakan fungsi ‘AddedBlacklist’ pada 30 Disember.
Tindakan Tether menyebabkan pemilik wallet ini tidak boleh menjalankan sebarang transaksi menggunakan USDT.
Menurut jurucakap Tether, keadaan ini juga bermakna mungkin pemilik wallet tersebut di bawah siasatan pihak agensi penguatkuasaan undang-undang.
Setakat ini masih belum dapat dikenalpasti siapakah pemilik malang yang dibekukan aset stablecoin-nya kerana pihak Tether enggan berkongsi maklumat.
Untuk pengetahuan, sekatan yang dilaksanakan oleh Tether ini bukanlah kali pertama.
Tether telah melaksanakan fungsi AddedBlacklist sejak 2017 dan dikhabarkan telah menyekat lebih 500 alamat di Ethereum.
Inisiatif ini juga sebenarnya telah banyak membantu Tether dalam mendapatkan semula dana yang telah dicuri penggodam atau terjejas.
Tidak cukup dengan itu, Tether juga memiliki mekanisme ‘pulih’, membawa maksud mereka boleh membekukan dan mengeluarkan semula USDT untuk kes-kes tertentu.
Contohnya: Tether boleh membeku USDT yang dikirim ke alamat yang salah dan menerbitkan USDT baharu kepada pengguna tersebut.