Mata wang ringgit mengekalkan rentak pemulihannya sejak dagangan Rabu berbanding dolar AS berikutan sokongan keredaan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Pada jam 11.10 pagi, ringgit didagangkan pada paras 3.9670 iaitu positif 0.3% sejak ia dibuka pada awal dagangan Khamis di sesi Asia.
Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada Khamis ketika sentimen pasaran dipengaruhi perkembangan rundingan antara Amerika Syarikat dan Iran yang dilihat semakin hampir mencapai persetujuan.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata harga minyak mentah dunia susut selepas Presiden AS, Donald Trump memberi bayangan bahawa rundingan antara kedua-dua negara berada di peringkat akhir.
Harga minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) dilaporkan turun 0.82% kepada AS$107.77 setong, manakala minyak Brent menjunam 5.46% kepada AS$105.20 setong.
Penurunan itu mencetuskan harapan bahawa Selat Hormuz mungkin dibuka semula dalam masa terdekat, sekali gus melancarkan semula aliran perdagangan minyak, gas dan barangan global.
Dalam masa sama, Indeks Dolar AS (DXY) susut 0.21% kepada 99.122 mata walaupun minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) menunjukkan pegawai Federal Reserve (Fed) masih cenderung mengekalkan dasar monetari ketat.
Fed menjangkakan inflasi AS kekal melebihi sasaran 2% untuk tempoh lebih panjang, sekali gus membuka ruang kepada kenaikan kadar faedah selanjutnya.
Pada sesi awal dagangan, ringgit diniagakan lemah berbanding beberapa mata wang utama. Mata wang tempatan susut berbanding pound British kepada 5.3265/3338, euro kepada 4.6091/6155 dan yen Jepun kepada 2.4954/4991.
Berbanding mata wang serantau pula, prestasi ringgit bercampur-campur apabila lemah berbanding baht Thailand dan dolar Singapura, namun mengukuh sedikit berbanding rupiah Indonesia serta peso Filipina.




















































