Pelabur Waspada, Saham CGB Tidak Menentu!

207

Saham Central Global Bhd (CGB) mengalami penyusutan pada sesi dagangan di Bursa Malaysia pagi tadi.

Saham itu diniagakan kukuh apabila mencecah paras RM2.60 sejurus sesi dagangan dibuka, melonjak sebanyak 13 sen atau 5.26%.

Bagaimanapun, momentum pembelian tidak bertahan lama. Pada pukul 11.15 pagi, saham CGB susut 13 sen atau 5.26% kepada RM2.34 dengan 21.3 juta saham bertukar tangan.

Jumlah dagangannya setara dengan 23% daripada modal saham terbitannya sebanyak 91 juta saham.

CGB merupakan salah satu ‘penny stock’ yang berpotensi dari segi harga saham. Penny stock adalah saham yang diniagakan di bawah harga RM1 di Bursa Malaysia.

Syarikat berkenaan baru-baru ini mendapat liputan selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Multi Scopes Sdn Bhd untuk meneroka potensi membentuk kerjasama bagi projek rawatan loji kumbahan di Selangor pada awal bulan ini.

Menurut CGB, kerjasama itu melibatkan kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan, pentauliahan, operasi dan penyerahan loji rawatan kumbahan di Petaling Jaya.

Kedua-dua pihak masih belum memuktamadkan projek itu, menurut makluman kepada bursa saham.

Selain itu, CGB juga mencari peluang untuk bekerjasama dengan firma yang berpangkalan di China iaitu Huobi Mall bagi membina pusat pangkalan data di negara ini.

Namun, tiada sebarang MoU ditandatangani setakat ini.

Sebelum berita itu dilaporkan, saham CGB telah pun meningkat sebanyak tiga kali ganda sejak awal tahun ini.

Saham syarikat tersebut meningkat 286% daripada 65 sen pada awal Januari lalu.

Pada April lalu, Bursa Malaysia memberikan kelulusan kepada CGB untuk menawarkan 18 juta saham baharu. Syarikat itu telah menetapkan 1 juta pertama saham itu dijual dengan harga RM2 sesaham.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat