Prestasi US Dolar Kembali Merosot Menuju Penutup Suku Ke-2 2024!

178

Dagangan menuju ke penutup Jun dilihat berisiko dengan pelabur lebih mengambil sikap berhati-hati membuatkan pergerakan pasaran sedikit suram.

US dolar juga dilihat tidak meneruskan momentum positif sebelum ini apabila kembali memaparkan penyusutan semula pada Khamis semalam.

Data-data ekonomi Amerika Syarikat (AS) diterbitkan kurang memberangsangkan, gagal menyokong pengukuhan berterusan US dolar.

Bacaan akhir bagi pertumbuhan ekonomi AS untuk suku pertama 2024 tepati ramalan untuk mencatatkan 1.4%, angka jauh lebih rendah berbanding suku terakhir 2023 lalu yang memberi gambaran perbelanjaan pengguna yang melemah.

Data pesanan barangan tahan lama turut alami penurunan serta kontrak jualan rumah yang merosot sedikit merencatkan prestasi US dolar di penghujung minggu.

Tumpuan penting pasaran pada hari ini (Jumaat) terarah kepada indikator inflasi yang diperhatikan Federal Reserve (Fed) iaitu indeks harga PCE yang mengukur perbelanjaan peribadi pengguna AS.

Ramalan angka indeks bulanan untuk Mei adalah sedikit menurun yang bakal menyusuli laporan inflasi AS yang diterbitkan sebelum ini.

Selain itu juga, pasaran turut berjaga-jaga dengan sebarang risiko untuk kemungkinan berlaku campur tangan pihak berkuasa Jepun dalam pasaran ketika Yen terus terperosot ke paras terendah 38 tahun.

Kejatuhan nilai Yen dalam pasaran dilihat berterusan sehingga ke sesi Asia pagi ini membuatkan risiko dalam pasaran semakin meningkat.

Pelabur juga sedang mengikuti acara debat presiden yang berlangsung antara Joe Biden dan Donald Trump hari ini yang menambahkan lagi kehangatan menjelang pilihan raya di penghujung 2024.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat