USD Berubah Arah, Pelabur Mula Waspada!

1,953

US dolar kembali mengurangkan keuntungannya menjelang hujung minggu menyusuli penyusutan dalam hasil perbendaharaan AS 10 tahun.

Indeks dolar berundur dari puncak tertinggi 10 bulan dengan didagangkan berlegar pada sekitar paras 106.10 pada sesi Asia Jumaat.

Raja mata wang itu telah mengalami lonjakan drastik pada minggu ini, disokong oleh jangkaan bahawa kadar faedah akan kekal tinggi untuk tempoh lebih lama.

Hal ini turut menyokong hasil bon AS 10 tahun mencapai paras 4.688% pada hari Khamis, tertinggi sejak 2007.

Pun begitu, pengukuhan US dolar dan hasil bon AS kembali mereda di tengah-tengah kebimbangan terhadap risiko penutupan kerajaan (government shutdown).

Risiko semakin meningkat kerana undang-undang untuk membiayai kerajaan masih belum diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Senat. Sekiranya berlaku, ia boleh memberi kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi dan menangguhkan penerbitan data ekonomi utama.

Sementara itu, bacaan akhir keluaran dalam negara kasar (KDNK) AS pada suku kedua sejajar dengan jangkaan dengan berkembang 2.1%, manakala tuntutan pengangguran mingguan pula sedikit meningkat.

Data harga perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) AS, petunjuk inflasi pilihan Federal Reserve (Fed) kini menjadi tumpuan pasaran seterusnya pada sesi New York.

Kemerosotan US dolar telah memberi sokongan buat mata wang utama lain untuk bangkit dari paras terendah, menyaksikan dolar Aussie dan New Zealand didagangkan lebih kuat pada sesi Asia.

Selain itu, mata wang euro dan pound turut mencatat peningkatan namun kekal berlegar pada sekitar paras terendah berbanding greenback.

Yen pula terus berlegar pada sekitar paras terlemah 11 bulan pada paras 149.30 berbanding USD dengan pasaran masih menantikan campur tangan daripada Bank of Japan (BOJ).

Pergerakan pasaran dijangka kekal tidak menentu memandangkan hari ini adalah dagangan terakhir untuk bulan September dan penghujung suku ketiga yang boleh menyumbang peningkatan volatiliti.

Anda juga boleh mengintai peluang-peluang yang disajikan oleh INTRADAY melalui program komuniti, pendaftaran akaun trading dan bermacam-macam lagi. Untuk info lanjut, KLIK DI SINI.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat