Ketegangan di Timur Tengah terus memuncak apabila Saudi Arabia dilaporkan melancarkan beberapa serangan sulit ke atas Iran sebagai tindak balas terhadap serangan yang diterima kerajaan itu sepanjang konflik serantau yang sedang berlangsung.
Menurut dua pegawai Barat dan dua pegawai Iran, serangan oleh Tentera Udara Saudi itu dipercayai dilakukan pada penghujung Mac lalu.
Tindakan tersebut menandakan kali pertama Arab Saudi diketahui melaksanakan operasi ketenteraan secara langsung di bumi Iran, sekali gus menunjukkan pendekatan lebih agresif Riyadh dalam mempertahankan kepentingan keselamatannya.
Walaupun sasaran sebenar serangan tidak dapat disahkan, tindakan itu dipercayai sebagai serangan balas terhadap ancaman dan serangan yang diterima Arab Saudi sebelum ini.
Setakat ini, kerajaan Saudi tidak mengesahkan secara rasmi operasi tersebut manakala Kementerian Luar Iran juga tidak memberikan sebarang maklum balas.
Perkembangan itu turut menggambarkan konflik Timur Tengah kini semakin meluas selepas perang yang tercetus susulan serangan udara Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran pada 28 Februari lalu.
Sejak itu, Iran dilaporkan melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas beberapa negara Teluk termasuk pangkalan tentera AS, lapangan terbang, kemudahan awam dan infrastruktur minyak selain menutup Selat Hormuz yang menjejaskan perdagangan global.
Dalam masa sama, United Arab Emirates turut dilaporkan menjalankan operasi ketenteraan terhadap Iran.
Namun pendekatan kedua-dua negara Teluk itu dilihat berbeza apabila UAE mengambil pendirian lebih tegas, manakala Arab Saudi masih mengekalkan usaha diplomasi dan de-eskalasi bagi mengelakkan konflik menjadi lebih besar serta mengancam kestabilan rantau tersebut.
























































