Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Michael Saylor, pengasas syarikat Strategy, memberi isyarat bahawa syarikatnya mungkin akan kembali membeli Bitcoin (BTC) selepas seminggu berhenti membeli sebelum laporan pendapatan suku pertama 2026.
Dalam hantaran di platform X, Saylor menulis ‘Back to work, BTC’ satu mesej yang sebelum ini sering muncul sebelum Strategy membuat pembelian Bitcoin baharu.
Strategy sebelum ini membeli lebih 3,000 BTC pada akhir April, menjadikan jumlah pegangan mereka melebihi 818,000 BTC, dengan nilai puluhan bilion dolar.
Kos purata pembelian syarikat dianggarkan sekitar $75,000 bagi setiap Bitcoin, dan ketika ini pelaburan mereka masih menunjukkan keuntungan kira-kira 7–8%.
Namun, dalam panggilan pendapatan terbaru, Saylor turut membuat kenyataan yang agak mengejutkan apabila mengatakan syarikat mungkin akan menjual sebahagian kecil Bitcoin secara berkala.
Tujuannya adalah untuk membayar dividen kepada pemegang instrumen kredit mereka serta mengurus kewangan syarikat.
Kenyataan ini menimbulkan perdebatan dalam komuniti kripto kerana sebelum ini Strategy terkenal dengan pendekatan ‘tidak pernah menjual Bitcoin’.
Ada pihak yang bimbang jualan ini boleh memberi tekanan kepada harga BTC di pasaran.
Walau bagaimanapun, pihak pengurusan Strategy menjelaskan bahawa sebarang jualan hanya akan dibuat dalam situasi tertentu, seperti untuk membayar dividen atau tujuan kewangan lain, dan bukan untuk berdagang secara aktif.
CEO Strategy, Phong Le juga menegaskan bahawa dengan jumlah dagangan Bitcoin harian yang sangat besar di pasaran, sebarang jualan kecil daripada syarikat tidak sepatutnya memberi kesan besar kepada harga BTC secara keseluruhan.
Strategy masih kekal sebagai salah satu pemegang Bitcoin terbesar di dunia, tetapi kini mereka mula membuka kemungkinan pendekatan yang lebih fleksibel iaitu bukan hanya membeli, tetapi juga menjual dalam keadaan tertentu.





















































