Kedudukan Malaysia sebagai hab utama teknologi dan tenaga terus menyokong prestasi perdagangan negara apabila surplus dagangan bagi tempoh Januari hingga Mei 2026 melonjak ke paras tertinggi RM132.77 bilion.
Menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), jumlah perdagangan negara dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini berkembang 18.3% kepada RM1.455 trilion berbanding tempoh sama tahun lalu.
Prestasi itu didorong oleh peningkatan eksport sebanyak 24.3% kepada RM793.84 bilion, manakala import turut meningkat 11.8% kepada RM661.07 bilion.
Sektor elektrik dan elektronik (E&E) kekal menjadi pemacu utama eksport negara dengan nilai eksport meningkat 39.7% kepada RM382.89 bilion. Dalam masa sama, eksport semikonduktor melonjak 61.6%, didorong permintaan global yang semakin kukuh terhadap pembangunan infrastruktur kecerdasan buatan (AI).
Selain sektor teknologi, produk petroleum dan gas asli cecair (LNG) turut menyumbang kepada pertumbuhan eksport susulan permintaan tenaga global yang kekal stabil.
Malaysia juga terus memperluaskan pasaran eksport ke beberapa wilayah baharu termasuk Amerika Latin, Asia Tengah, Oceania, Afrika serta Eropah Tengah dan Timur bagi mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tradisional.
Dalam masa yang sama, kerajaan dan pemain industri akan terus memantau perkembangan geopolitik di Asia Barat bagi memastikan sebarang gangguan terhadap rantaian bekalan global dapat ditangani serta mengekalkan momentum pertumbuhan eksport negara.

























































