Ketegangan geopolitik di Timur Tengah kembali menjadi perhatian pasaran apabila Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk memulakan semula tindakan ketenteraan terhadap Iran selepas selesai mengadakan pertemuan dengan Presiden China, Xi Jinping.
Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memaklumkan beliau telah mengadakan perbincangan bersama Trump pada Ahad bagi membincangkan situasi semasa melibatkan Iran serta beberapa perkembangan lain yang berpotensi memberi kesan kepada rantau tersebut.
Netanyahu turut memberi bayangan bahawa Israel sedang bersedia menghadapi sebarang kemungkinan susulan ketegangan yang semakin meningkat.
Kenyataan itu hadir ketika laporan media antarabangsa mendakwa Washington semakin kecewa dengan pendekatan Iran yang dilihat terus melengah-lengahkan rundingan berkaitan isu nuklear dan penutupan Selat Hormuz.
Laporan Fox News mendedahkan bahawa penilaian perisikan serantau percaya Trump mungkin mempertimbangkan tindakan ketenteraan baharu terhadap Tehran sekiranya Iran terus menolak tuntutan AS untuk menghentikan aspirasi senjata nuklearnya.
Menurut pegawai perisikan serantau, Iran dipercayai sedang menggunakan strategi penangguhan bagi melambatkan perkembangan konflik.
Tehran dikatakan cuba membeli masa sekurang-kurangnya dua minggu lagi dengan harapan keadaan politik dan operasi ketenteraan akan menjadi lebih sukar untuk AS melancarkan semula kempen perang.
Situasi tersebut sekali lagi meningkatkan kebimbangan pasaran global terhadap risiko konflik lebih besar di Timur Tengah, terutamanya melibatkan laluan perdagangan minyak utama dunia di Selat Hormuz.



















































