3 Trio Gabenor Dengan Kenyataan Yang Berbeza Mengenai Dasar Monetari

219

Tiga pemimpin dari bank pusat utama dunia, Federal Reserve (Fed), Bank of England (BoE) dan Bank Pusat Eropah (ECB) telah menghiasi pasaran dengan keterangan secara berasingan mengenai pandangan mereka terhadap ekonomi dan dasar semasa.

Pengerusi Federal Reserve (Fed) A.S, Jerome Powell menyatakan keyakinannya kepada Kongres bahawa ekonomi Amerika Syarikat berada dalam keadaan baik walaupun terhadap ancaman yang berpotensi daripada wabak coronavirus dan kebimbangan terhadap kesihatan ekonomi jangka panjang.

Powell mengekalkan pendirian FOMC terhadap dasar monetari semasa akan menyokong pertumbuhan ekonomi secara berterusan, pengukuhan pasaran buruh dan memacu inflasi untuk mencapai sasaran 2%, malah ia akan dikekalkan selagi indikator-indikator ekonomi A.S masih konsisten.

Beliau juga berkata penyebaran wabak coronavirus akan menjejaskan ekonomi China dan beberapa rakan dagangan lain, serta terdapat kemungkinan Amerika Syarikat turut menerima kesan yang sama. Bagaimanapun, bank pusat akan memantau dengan lebih dekat mengenai impak wabak tersebut.

Selain itu, Gabenor Bank of England (BoE), Mark Carney yang memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Hal Ehwal Ekonomi House of Lords UK, berkata unjuran bank pusat yang diterbitkan pada bulan lepas menunjukkan inflasi akan melebihi sasaran 2% jika BoE mengurangkan kadar faedah.

Ini menunjukkan bahawa beliau tidak tergesa-gesa untuk pelonggaran dalam masa terdekat.

Carney juga menyatakan kebimbangannya terhadap coronavirus dan berpendapat bahawa kesannya terhadap ekonomi Britain adalah lebih besar daripada wabak SARS, namun masih terlalu awal untuk menyatakan impak secara keseluruhannya.

Sementara itu dalam keterangan oleh Presiden Bank Pusat Eropah (ECB), Christine Lagarde kepada Parlimen Eropah, beliau kekal dengan pendirian dasar monetari semasa bank pusat.

Beliau memberitahu bahawa momentum pertumbuhan ekonomi di zon Eropah telah mengalami kelembapan sejak hampir 2 tahun lalu ekoran daripada ketidakpastian global dan prospek perdagangan yang lemah.

ECB kini dikatakan sedang mengkaji sama ada rancangannya untuk mengeluarkan matawang digitalnya sendiri dapat memberi manfaat kepada zon Eropah dan membantu mencapai matlamatnya.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat