Apa Jadi Pada USD Lepas Meroket Tinggi?

1,406

US dolar kekal stabil pada sesi Eropah walaupun sedikit berundur dari puncak tertinggi enam bulan yang dicapainya pada Khamis.

Terdahulu, raja mata wang itu melonjak tinggi selepas disokong oleh data jualan runcit, inflasi pengeluar (PPI) dan tuntutan pengangguran Amerika Syarikat yang lebih kukuh pada bulan Ogos.

Bagaimanapun, ia sedikit susut pada sesi Asia susulan sentimen pasaran yang positif berikutan data jualan runcit dan pengeluaran industri China yang lebih baik daripada jangkaan.

Hal ini telah mendorong mata wang yuan, dolar Aussie dan dolar New Zealand untuk meningkat, sebelum sedikit merosot pada sesi Eropah.

Selain data yang kukuh, pengumuman bank pusat China (PBOC) turut menjadi tumpuan pasaran dengan membuat pemotongan sebanyak 25 mata asas dalam nisbah keperluan rizab bank.

Dalam pada itu, euro terus melemah pada paras terendah enam bulan berbanding greenback selepas Bank Pusat Eropah (ECB) memberi petunjuk bahawa tiada lagi kenaikan kadar faedah selepas ini.

Bank pusat itu telah menaikkan kadar sebanyak 25 mata asas kepada 4.50% pada mesyuarat dasar yang berlangsung pada Khamis.

Sementara itu, mata wang pound kekal berlegar pada paras terlemah tiga bulan berbanding US dolar, dengan pelabur kini bersiap sedia untuk data inflasi UK dan mesyuarat polisi Bank of England (BOE) pada minggu depan.

Di Jepun, mata wang yen menyusut semula dengan harga kembali menghampiri paras terendah 10 bulan pada 147.87 berbanding US dolar yang disentuhnya minggu lalu.

Dolar Kanada pula terus melanjutkan pengukuhan ke paras tertinggi baharu dua minggu berbanding greenback, disokong oleh harga minyak yang didagangkan pada paras terkuat sejak November 2022.

Anda juga boleh mengintai peluang-peluang yang disajikan oleh INTRADAY melalui program komuniti, pendaftaran akaun trading dan bermacam-macam lagi. Untuk info lanjut, KLIK DI SINI.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat