Data Inflasi AS Punca Pasaran Kripto Berguguran?

186

Indeks Harga Pengguna (CPI) Amerika Syarikat (AS) untuk bulan September yang diterbitkan pada sesi New York semalam mengundang reaksi bercampur dalam pasaran dengan bacaan inflasi dilihat masih lagi tinggi, namun terdapat penurunan pada angka bacaan.

Difahamkan bahawa CPI bulanan meningkat 0.4% pada manakala bacaan tahunan catat 8.2% daripada jangkaan 8.1%, namun menurun dari sebelumnya 8.3%.

Malah bacaan inflasi teras pula menunjukkan peningkatan sebanyak 0.6% dan tahunan mencanak 6.6%.

Oleh demikian, para pelabur secara pantas akan menjual pegangan mata wang kripto susulan keputusan CPI yang pada mulanya dinilai lebih buruk daripada jangkaan.

Buktinya, mata wang kripto terbesar Bitcoin (BTC) menyusut 2% dalam tempoh beberapa minit data tersebut diterbitkan sehingga jatuh ke paras harga $18,200, manakala Ethereum (ETH) merosot ke paras lebih rendah sekitar $1,200.

Sementara itu, Binance Coin jatuh hampir 3.52% dan Solana (SOL) menyusut 1% dalam tempoh 24 jam lalu ekoran pasaran kripto yang kini berada dalam keadaan tegang disebabkan faktor makroekonomi.

Diperjelaskan, Federal Reserve (Fed) sedang mempertimbangkan CPI dengan membuat pengetatan kuantitatif serta kenaikan kadar faedah bagi membendung paras inflasi negara, sungguhpun sebelum ini kadar faedah sudah naik sebanyak 75 mata asas.

Para pelabur turut yakin bahawa pasaran kripto bakal membuat pergerakan menurun secara besar-besaran sejurus timbul jangkaan untuk Fed menetapkan kenaikan sehingga 100 mata asas.

Untuk tempoh jangka masa panjang, pasaran masih lagi melihat Fed berkemungkinan akan meneruskan pendirian hawkish bagi membendung paras inflasi walaupun tindakan tersebut boleh mengakibatkan kemelesetan dalam ekonomi global.

Namun, ketika dagangan yang menuju ke penghujung sesi New York dan bersambung di sesi Asia pagi ini, pergerakan harga dalam pasaran kripto dilihat mula positif dengan kebanyakan token mula paparkan kenaikan sekitar 3% ke 4%.

Adakah tiba masa untuk pasaran kripto memasuki fasa ‘bullish’ selepas ini?

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat