Dividen KWSP Dijangka Naik Setinggi 6.5% – Penganalisis

600

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangkakan akan mengumumkan kadar dividen pada kadar 5.5% hingga 6.5%. Ia diramalkan akan berlakunya kenaikan bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Syariah berbanding tahun 2022.

Menurut Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata jangkaan positif dalam pengagihan kadar dividen lebih baik pada 2023 kerana prestasi suku tahun semasa KWSP agak cemerlang.

KWSP memiliki skala ekonomi yang lebih mampan dengan aset di bawah pengurusan (AUM) sebanyak RM1.1 trilion. Justeru, dana persaraan nasional ini mempunyai kelebihan dari segi pilihan pelaburan mahupun proses rundingan dengan pengurus dana luar.

Katanya lagi, disebabkan oleh saiz dana pelaburan yang besar. KWSP perlu bekerja lebih keras untuk mendapat pulangan tinggi dari sudut ringgit walaupun peratusan yang kecil. Setiap satu peratus dividen, KWSP dengan aset RM1.1 trilion perlu membayar RM11 bilion dan ini cukup mencabar dalam situasi ekonomi semasa.

KWSP dijangka memberikan pulangan dividen lebih baik dengan unjuran untuk 2023 adalah antara 5.5% hingga 6.5%. Selain itu, laporan prestasi KWSP yang baik untuk setiap suku tahun 2023 dilihat terus berkembang dengan baik.

Tambahan lagi, pergerakan pengurusan kanan KWSP berpindah dengan memegang portfolio yang lebih besar di Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri pada akhir tahun lalu juga memberikan petunjuk kecemerlangan pengurusan KWSP yang menarik perhatian pucuk pimpinan negara.

Beliau menambah, antara cabaran besar KWSP adalah mengimbangi pelaburan dalam dan luar negara, terutama dalam menyokong syarikat tempatan dari aspek pelaburan modal dalam mengembangkan keuntungan dan memakmurkan negara.

Bagaimanapun, Aimi Zulhazmi berkata, ada syarikat besar tempatan tersenarai di Bursa Malaysia mencatatkan keuntungan mantap seperti institusi perbankan, minyak dan gas serta pembinaan walaupun ekonomi dunia malap.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia, Dr Mohamad Khair Afham Muhamad Senan, berkata pengumuman kenaikan dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) baru-baru ini boleh menjadi penanda aras untuk kemungkinan bahawa dividen KWSP juga akan meningkat.

Katanya lagi, selain ASNB, KWSP juga dilihat sebagai antara portfolio yang paling stabil dan selamat, menjadikannya ia kekal kompetitif dan dijangka kekal tinggi berbanding penanda aras pelaburan jangka panjang iaitu deposit tetap.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat