Matawang Pound Dan Euro Gagal Manfaatkan Pengukuhan Data Ekonomi Eropah

488

Sesi pasaran Eropah hari ini dihiasi oleh beberapa data ekonomi utama dari zon Eropah dan UK dengan menyaksikan peningkatan matawang euro susulan bacaan data PMI pembuatan dan perkhidmatan di Jerman yang melebihi jangkaan pasaran sebelum kembali menyusut.

Pertumbuhan dalam sektor pembuatan di Jerman bagi bulan Januari meningkat kepada 45.2 jauh lebih tinggi daripada bacaan bulan lalu sebanyak 43.7 dan lebih baik daripada disasarkan oleh pasaran untuk meningkat 44.5.

Bagaimanapun, bacaan yang dicatatkan masih dikategorikan sebagai menguncup, merujuk kepada perantaraan 50.0 yang memisahkan penguncupan dan pengembangan.

Sementara itu, bacaan data PMI perkhidmatan Jerman juga meningkat sehingga mencecah paras tertinggi lima bulan sebanyak 54.2 berbanding bacaan pada bulan sebelumnya sebanyak 52.9 dan 53.0 yang dijangkakan pasaran.

Hal ini dilihat berbeza pula dengan data PM perkhidmatan Perancis yang memperlihatkan penurunan kepada 51.7 dari unjuran pasaran untuk meningkat 52.2. Bacaan ini menunjukkan aktiviti perniagaan di Perancis berkembang pada kadar yang lebih lemah.

Data PMI pembuatan Perancis pula turut mencatatkan peningkatan kepada 51.0 daripada bacaan sebelum ini sebanyak 50.4 dan melebihi jangkaan pasaran untuk meningkat 50.6.

Secara keseluruhannya, bacaan PMI pembuatan Zon Eropah menunjukkan peningkatan kepada 47.8 daripada 46.3 manakala sektor perkhidmatan pula sebaliknya dengan menurun kepada 52.2 daripada 52.9 pada Disember.

Pembacaan data PMI yang memberangsangkan hari ini membuktikan kenyataan ahli majlis ECB, Francois Villeroy de Galhau yang baru sahaja berucap di Davos yang memberitahu bahawa beliau melihat beberapa kestabilan dalam ekonomi Zon Eropah.

Penerbitan data PMI UK turut menjadi tumpuan sesi Eropah apabila bacaan PMI pembuatan yang dicatatkan meningkat kepada 49.8, jauh lebih tinggi daripada catatan terdahulu sebanyak 47.5 dan jangkaan pasaran 48.8.

Sementara bacaan PMI perkhidmatan UK juga positif dengan kenaikan 52.9 daripada yang dicatatkan pada bulan lalu sebanyak 50.0 dan unjuran pasaran 51.1.

Pengukuhan ini telah mendorong lonjakan buat matawang pound sebelum kembali merosot berbanding USD.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat