Pengasas Bersama Dogecoin (DOGE) Panggil Elon Musk ‘Bodoh’

3,150

‘Sekali baca nampak macam agenda Musk untuk lengah-lengahkan lagi pembelian Twitter je.’

Buat masa ini pemerolehan Twitter Inc oleh Elon Musk masih dalam penangguhan kerana alasan masalah spam bot pada aplikasi media sosial tersebut.

Rentetan itu, bekas pengasas bersama mata wang kripto Dogecoin (DOGE), Jackson Palmer menyatakan bahawa beliau memiliki skrip Python ‘mudah‘ yang boleh menyelesaikan masalah Musk.

Namun tiada ribut atau angin, Palmer tiba-tiba memberitahu saluran berita Australia, Crikey, bahawa Musk terlalu ‘bodoh‘ untuk memahami dan menggunakan skrip Python tersebut.

Menurut Palmer, Musk telah menghubunginya untuk mendapatkan skrip tersebut tetapi beliau menyatakan bahawa pengetahuan pengekodan jutawan itu terlalu rendah untuk menggunakannya.

Menambah penghinaan, Palmer turut memanggil Musk sebagai seorang ‘yang menyedihkan‘ dan cuma ‘menjual visi dengan harapan dia boleh menyampaikan apa yang dijanjikan tanpa ilmu‘.

Perkara yang dinyatakan Palmer mungkin merujuk kepada tindakan kontroversi pemerolehan Twitter oleh Musk.

Para pengkritik menganggap tindakan jutawan itu akan menghancurkan Twitter, dan Musk menjadi penyebab utama kepada kejatuhan saham syarikat.

Bagai harimau yang tidur sudah dikejutkan, Musk membalas kenyataan Palmer dengan ciapan yang mengatakan skrip Palmer sangat teruk dan gagal menyelesaikan masalah spam bot seperti yang dihebahkan.

Musk turut menambah bahawa anak-anaknya boleh menulis kod lebih baik ketika mereka berusia 12 tahun, selain turut mencabar Palmer untuk mengawamkan skrip buatannya untuk dibuka kepada penelitian umum andai dia berani.

Setakat ini Palmer masih belum beri sebarang maklum balas dan Musk yang ‘koyak’ juga belum mengeluarkan provokasi tambahan.

Dalam pada itu, perbalahan antara Musk dan Palmer ini berlaku 2 hari selepas jutawan itu mengumumkan SpaceX akan menerima DOGE sebagai bayaran untuk barangan syarikat.

Pada masa artikel ini ditulis, DOGE didagangkan pada lemah 1.04% pada $0.08 (37 sen) dengan permodalan pasaran sebanyak $11 juta (RM49 juta).

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat