Amerika Syarikat dan Iran melaporkan sedikit kemajuan dalam rundingan damai bagi menamatkan perang yang tercetus sejak hujung Februari lalu. Walau bagaimanapun, kedua-dua pihak kini berada dalam jalan buntu berikuta perselisihan faham yang mendalam membabitkan pemilikan simpanan uranium Iran serta cadangan pelaksanaan sistem tol di Selat Hormuz.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio menyatakan bahawa petunjuk awal ke arah perjanjian damai sudah kelihatan, namun beliau menegaskan sebarang pelan tidak akan dipersetujui sekiranya Iran cuba mengawal laluan maritim antarabangsa tersebut. Rubio turut memberi amaran bahawa Presiden Donald Trump bersedia untuk mengambil “pilihan lain” sekiranya jalan diplomasi ini gagal.
Dalam perkembangan berkaitan, agensi berita Iran (ISNA) melaporkan draf cadangan terbaharu daripada AS telah berjaya merapatkan jurang perbezaan antara kedua-dua pihak yang berperang. Tehran kini sedang meneliti cadangan berkenaan berasaskan pelan rangka kerja 14 perkara yang dikemukakan mereka sebelum ini.
Isu di Selat Hormuz kekal kritikal selepas Presiden Trump menolak sekeras-kerasnya pelan kerjasama Iran-Oman untuk membina sistem pembayaran kawalan trafik logistik. Selat Hormuz merupakan laluan strategik global yang biasanya mengendalikan kira-kira 20% bekalan minyak dan gas asli cecair dunia, namun kini lumpuh akibat sekatan ketenteraan bersama.
Di samping itu, ketegangan Selat Hormuz, rundingan turut terjejas selepas Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Mojtaba Khamenei, melarang penghantaran keluar uranium gred senjata ke luar negara. Sementara itu, Komando Pusat AS (CENTCOM) mengesahkan kapal pengangkut USS Abraham Lincoln terus diletakkan dalam kesiapsiagaan tertinggi di Laut Arab.





















































