Harga emas global bergerak dalam julat sempit sekitar $4,500 seauns berikutan ketidakpastian pasaran terhadap perkembangan rundingan gencatan senjata antara Amerika Syarikat dan Iran. Situasi ini menyebabkan para pedagang terus berteka-teki mengenai arah aliran kadar faedah dan pengukuhan mata wang dolar AS.
Laporan terbaharu menyatakan Iran sedang menilai draf cadangan AS yang dilaporkan berjaya merapatkan jurang perbezaan antara kedua-dua pihak. Walau bagaimanapun, rundingan masih menemui jalan buntu berikutan isu simpanan uranium Tehran serta pertikaian mengenai pelaksanaan sistem tol di Selat Hormuz.
Kebimbangan terhadap penutupan Selat Hormuz mencetuskan jangkaan inflasi tinggi ekoran lonjakan kos tenaga. Isyarat ini mendorong spekulasi bahawa Rizab Persekutuan (Fed) dan bank pusat global berkemungkinan besar akan menaikkan kadar faedah bagi mengawal tekanan harga tersebut.
Pihak Commerzbank AG menyatakan minit mesyuarat Fed mendedahkan pengetatan dasar monetari akan diteruskan jika inflasi gagal turun ke paras sasaran 2%. Sebarang ketegangan baharu di Timur Tengah berisiko mencetuskan pembetulan harga dan penurunan lanjut bagi pasaran emas.
Di London, harga emas spot menyusut 0.4% kepada $4,522.96 seons, manakala perak turun 1% kepada $75.93 seons seiring dengan kejatuhan platinum dan paladium. Sebaliknya, Indeks Spot Dolar Bloomberg mencatatkan peningkatan tipis ekoran peralihan sentiment pelabur.






















































