Amerika Syarikat (AS) secara rasmi telah menarik balik sekatan ekonomi ke atas sektor minyak Iran secara meluas dengan membenarkan transaksi komersial menggunakan mata wang dolar AS buat kali pertama dalam tempoh lebih 40 tahun. Jabatan Perbendaharaan AS mengeluarkan “Lesen Am X” bagi tempoh interim 60 hari sehingga 21 Ogos hadapan, seiring dengan kemajuan positif rundingan damai kedua-dua negara di Switzerland.
Langkah pengecualian ini menandakan pembetulan dasar terbesar Washington sejak Revolusi Islam 1979 yang sebelum ini bertujuan melumpuhkan ekonomi Iran. Pelonggaran ini bukan sahaja merangkumi aktiviti pengeluaran dan penjualan minyak mentah, produk petroleum serta petrokimia, malah menarik sekatan ke atas kapal dagang dan membuka ruang kepada import terus oleh pihak AS.
Pakar sekatan kewangan daripada Foundation for Defense of Democracies (FDD), Miad Maleki, mengunjurkan keputusan ini mampu membuka inventori sebanyak 67 juta tong minyak mentah Iran yang terkandas di Teluk Parsi. Implikasinya, rejim Iran bakal menerima durian runtuh bernilai $8 hingga $9 bilion hasil pemulihan saluran pendapatan utama mereka yang diaktifkan secara serentak.
Pelonggaran komersial ini turut membenarkan Iran menerima hasil tunai terus ke akaun bank pusatnya, sekali gus menghapuskan kos rantaian perantara melalui perbankan gelap. Pasaran menjangkakan pengimport utama seperti China, yang mengawal 90% eksport Iran melalui kilang penapis bebas yang akan mempercepatkan aktiviti pembelian bagi mengisi semula stok simpanan mereka sebelum lesen am tamat.
Presiden Donald Trump mempertahankan tindakan pentadbirannya dengan menegaskan bahawa keuntungan jualan minyak tersebut dihadkan khusus bagi membolehkan Iran membeli barangan sektor pertanian dari Amerika, dan bukannya bagi tujuan ketenteraan. Dalam masa yang sama, penganalisis geopolitik menilai Iran akan memanfaatkan tingkap 60 hari ini untuk membaiki fasiliti minyak pasca-perang dan memeterai kontrak pembekalan jangka panjang.
























































