Bagaimana ‘Nasib’ Bursa Saham Hari ini?

255

Bursa Malaysia dibuka dalam sentimen tidak menentu hari ini, didorong oleh ketidakpastian di peringkat tempatan dan asing membabitkan pemulihan ekonomi ketika pandemik COVID-19 terus menjadi penggerak utama pasaran.

Pada 9.05 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.98 mata kepada 1,508.49 berbanding 1,509.47 sewaktu dagangan ditutup semalam.

Bernama melaporkan, di pasaran secara meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 204 berbanding 129 manakala 229 kaunter lain tidak berubah, 1,562 tidak diniagakan dan 20 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 198.20 juta unit bernilai RM141.76 juta.

Sementara itu, Malacca Securities dalam nota penyelidikan ekuitinya hari ini menyifatkan reaksi penjualan saham itu berkait rapat dengan jangkaan bilangan kes-kes jangkitan COVID-19 pada akhir bulan ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, kes harian COVID-19 di Malaysia menyaksikan peningkatan ketara sejak beberapa hari lalu dan dijangka kekal mendadak bagi tempoh sekurang-kurangnya dua hari sehingga seminggu.

“Bagaimanapun, spekulasi mengenai kemungkinan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 telah dilenyapkan oleh pengumuman terbaharu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang boleh memberi sedikit kekangan terhadap jualan saham secara ketara,” katanya.

Menurutnya, saham-saham berharga rendah dan kaunter di pasaran secara meluas juga telah susut yang boleh disusuli dengan tindakan pengambilan untung segera dalam masa terdekat berikutan peningkatan kes COVID-19.

Di peringkat teknikal, FBM KLCI telah membentuk sentimen kurang memberangsangkan selepas menolak paras EMA20 harian apabila indeks petunjuk utama itu susut dan melenyapkan kenaikan hariannya semalam.

“Berikutan keadaan itu, unjuran paras 1,500 kini timbul semula dengan paras rintangan segera pada 1,480 dan seterusnya 1,450 manakala paras sokongan pada 1,520 dan 1,540,” katanya.

Di peringkat antarabangsa, seorang penganalisis berkata keputusan Presiden Donald Trump untuk mengakhiri perbincangan dengan pemimpin Demokrat mengenai pakej rangsangan baru iaitu beberapa jam selepas gesaan dibuat Pengerusi Rizab Persekutuan, Jerome Powell, telah menyebabkan sentimen pasaran yang lebih rendah.

Media kewangan Bloomberg melaporkan, Trump telah bertindak mengarahkan wakilnya untuk menangguhkan rundingan itu sehingga selepas pilihan raya atau pemilihan presiden itu pada 3 November.

“Sebaik saya menang, kita akan meluluskan rang undang-undang rangsangan utama yang memberi tumpuan terhadap kalangan rakyat yang bekerja keras serta perniagaan kecil,” kata Trump menerusi akaun Twitter pada Selasa.

Di peringkat tempatan, saham wajaran tinggi MISC turun 38 sen kepada RM6.73, Maybank rugi tiga sen kepada RM7.16, Petronas Chemicals tidak berubah pada RM6.00 manakala Top Glove naik lapan sen kepada RM8.72.

Bagi saham paling untung, UWC menambah 20 sen kepada RM6.50 dan JF Technology naik 10 sen kepada RM3.88 manakala kaunter rugi adalah Malaysia Pacific yang turun 12 sen kepada RM19.00 dan PNE PCB susut 11 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 6.17 mata kepada 10,884.16 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 19.20 mata kepada 13,009.70.

FBM 70 sebaliknya merosot 17.14 mata kepada 14,257.01, Indeks FBMT 100 naik 4.04 mata kepada 10,710.54, dan FBM ACE menokok 39.75 mata kepada 10,281.10.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 30.98 mata kepada 12,418.89, Indeks Perladangan naik 20.98 mata kepada 6,984.56 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.55 mata kepada 140.10.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat