Beberapa Sektor Dijangka Menjadi Tumpuan

244

Bursa Malaysia dibuka tinggi sedikit namun merosot selepas itu berikutan aktiviti pengambilan untung di kaunter teknologi terpilih serta kaunter produk dan perkhidmatan pengguna.

Pada 9.15 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 4.34 mata kepada 1,573.98 daripada1,578.23 pada penutupan Rabu.

Lapor Bernama, indeks itu dibuka 0.43 mata lebih tinggi kepada 1,578.75.

Suasana pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 293 kepada 173, manakala 321 kaunter tidak berubah, 1,378 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.

Jumlah dagangan pada 428.69 juta unit bernilai RM191.08 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikan berkata, pelabur mungkin menumpukan semula kepada sektor seperti saham pengguna perlu dan kaunter pembungkusan susulan penurunan harga komoditi semalam.

Tambahnya, harga komoditi terpilih merosot semalam susulan pengumuman China mengenai kempen untuk mengawal harga bahan mentah, antaranya dengan meningkatkan pengawasan terhadap dagangan komoditi.

“Sementara itu, peniaga mungkin memberi perhatian terhadap situasi bertemakan pemulihan berikutan Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terutamanya sektor bertemakan pemulihan termasuk pengguna, hartanah dan pembinaan,” jelasnya.

Malacca Securities berkata, FBM KLCI merosot semalam berikutan kebimbangan pelabur terhadap keputusan mesyuarat Jawatankuasa Terbuka Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS (FOMC).

“Di sebalik sentimen yang hambar ini, risiko penurunan di bursa tempatan mungkin dihadkan oleh penurunan kes Covid-19 serta peningkatan kadar vaksinasi susulan pelaksanaan Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) semalam,” ujarnya.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank dan IHH Healthcare naik 1.0 sen masing-masing kepada RM8.18 dan RM5.58, manakala Public Bank dan Petronas Chemicals susut 1.0 sen masing-masing kepada RM4.20 dan RM8.10 dan TNB turun 4.0 sen kepada RM9.98.

Untuk saham aktif, MMag, Advance SYnergy dan Trive Property menambah 1.0 sen masing-masing kepada 20 sen, 16 sen dan 9.0 sen, manakala KNM tidak berubah pada 20 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 21.18 mata kepada 11,501.47 dan Indeks FBMT 100 merosot 21.33 mata kepada 11,189.04 dan FBM ACE turun 0.68 mata kepada 7,634.61.

Indeks FBM Emas Syariah susut 22.40 mata kepada 12,645.90 namun FBM 70 naik 8.40 mata kepada 14,976.89.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 19.87 mata kepada 15,288.31, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.19 mata kepada 192.47 dan Indeks Perladangan susut 11.01 mata kepada 6,522.41.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat