Dagangan Euro Tidak Menentu Ekoran Pilihanraya Parlimen Telah Bermula

583

Selepas mencapai paras tertinggi dua tahun dagangan, matawang dolar Amerika Syarikat kembali menunjukkan penurunan berikutan data domestik yang lemah dan ancaman ekonomi ekoran ketegangan perang dagang yang berlanjutan menimbulkan jangkaan bahawa kadar faedah bakal diturunkan pada tahun ini.

Kadar jualan rumah baru di Amerika Syarikat mencatatkan penurunan pada bacaan data yang dikeluarkan semalam lebih rendah berbanding jangkaan penurunan oleh pasaran. Aktiviti perkilangan pada bulan Mei dilihat berada pada tahap yang terendah dalam tempoh sekitar sedekad ini, memberi gambaran bahawa ekonomi menuju ke arah pertumbuhan yang perlahan.

Momentum yang semakin menghilang itu adalah dilihat disebabkan peningkatan risiko terhadap perang dagang AS-China yang menjejaskan keyakinan perniagaan serta pertumbuhan luar negara yang turut perlahan.

Menurut CME Group, jangkaan pasaran terhadap FED yang bakal menurunkan kadar faedah semakin meningkat. Indikator menunjukkan hanya 36.2% sahaja jangkaan kadar akan dikekalkan pada Oktober tahun ini, menurun lebih rendah berbanding 50.8% sebelumnya.

Dagangan Pound Sterling pula turut melemah pada Khamis berikutan tekanan yang dihadapi oleh Perdana Menteri Britain, Theresa May untuk melepaskan jawatan beliau selepas kegagalan mendapatkan sokongan parlimen untuk pelan Brexit beliau.

Andrea Leadsom, ketua dalam Dewan Parlimen telah meletak jawatan dan ada spekulasi mengatakan para menteri yang lain akan turut mengikuti jejak beliau itu.

Ketidaktentuan politik yang melanda dengan rundingan Brexit yang tidak berpenghujung terus menambah tekanan buat dagangan Sterling dengan merekodkan siri penurunan terpanjang sehingga minggu ini berakhir.

Euro turut didagangkan tidak menentu apabila kembali menunjukkan kenaikan selepas penurunan mencecah ke paras terendah tahun ini berbanding USD dan juga terendah sejak Mei 2017 yang lalu.

Data ekonomi pada zon Eropah khususnya di Jerman dan Perancis yang dikeluarkan semalam dilihat mencatatkan bacaan yang bercampur-campur. Selain itu juga, pergerakan volatile Euro turut disebabkan faktor pilihanraya parlimen yang sedang berlangsung bermula semalam dan keputusan pilihanraya dijangka diketahui pada hujung minggu.

Dolar Kanada kembali mencatatkan penurunan pada dagangan berbanding USD berikutan penurunan pada harga minyak mentah dalam pasaran. Berkemungkinan penurunan tersebut akan berterusan disebabkan risiko pada ketegangan perang dagang yang melanda.

Matawang komoditi dolar AUD dan NZD juga masih didagangkan berisiko terkesan pada faktor perang dagang.

Fokus pelabuar akan tearah pada data tumpuan pada hari ini iaitu data jualan runcit di UK dan data pesanan barangan tahan lama Amerika Syarikat.

Kawal risiko dalam dagangan anda dan berwaspada dengan kemungkinan faktor aktiviti pengambilan keuntungan pada posisi dagangan penghujung minggu ini.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat