Ringgit Dibuka Rendah Berbanding USD, Pasaran Nantikan Laporan Penting Minggu Ini!

95

Ringgit memulakan dagangan Selasa dengan sedikit hambar selepas ia dibuka rendah berbanding dolar AS di saat pasaran masih menantikan lebih banyak petunjuk seperti laporan GDP suku pertama yang kini dalam usaha untuk mendapatkan langkah lanjut mengenai kadar faedah tahun ini.

Selain itu, data Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) AS yang akan dikeluarkan pada 26 April dan Indeks Pengurus Pembelian pembuatan dan perkhidmatan S&P bagi April akan diumumkan pada jam 9.45 malam ini.

Tepat 9 pagi tadi, ringgit susut ke paras 4.7780 berbanding dolar AS daripada 4.7750 pada akhir urus niaga semalam.

Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata data-data yang bakal diumumkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS pada minggu depan akan mempengaruhi sentimen dalam pasaran tukaran mata wang asing.

Katanya lagi, harga minyak mentah Brent meningkat sedikit kepada $87 per tong susulan krisis perang di Timur Tengah yang semakin mereda dan Indeks Dolar AS kekal tinggi dalam julat 106.088 mata.

Atas alasan itu, kadar tukaran asing USD/MYR diunjur kekal stabil pada paras semasa.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ringgit rendah berbanding yen Jepun kepada 3.0868/0889 daripada 3.0852/0877 pada akhir urus niaga semalam, susut berbanding pound Britain kepada 5.9027/9064 daripada 5.8938/8981 manakala berbanding euro, unit tempatan itu menguncup kepada 5.0929/0961 daripada 5.0859/0896 sebelumnya.

Dalam pada itu, ringgit juga turut diniagakan rendah berbanding mata wang Asean.

Ia meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.8891/9021 daripada 12.9044/9198 namun susut berbanding dolar Singapura kepada 3.5094/5118 daripada 3.5041/5069.

Ringgit juga rendah sedikit berbanding peso Filipina kepada 8.30/8.32 daripada 8.29/8.31 dan turun berbanding rupiah Indonesia pada 294.1/294.6 daripada 293.9/294.4.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat