Dalam Diam USD Cuba Untuk Mengukuh!

345

US dolar didagangkan mendatar berbanding kebanyakan mata wang utama ketika pelabur menantikan terbitan data PMI pada hari ini dan perkembangan semasa mengenai isu siling hutang Amerika Syarikat.

Sesi Asia menyaksikan indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback diperdagangkan sedikit berubah pada sekitar harga 103.25 berbanding sekumpulan mata wang utama.

Data PMI pembuatan dan perkhidmatan AS yang akan dikeluarkan pada sesi New York, bakal dijadikan petunjuk oleh pasaran sama ada Federal Reserve (Fed) boleh meneruskan kenaikan kadar faedah atau menghentikannya.

Terdahulu, raja mata wang itu merosot selepas Pengerusi Fed Jerome Powell memberi isyarat untuk kenaikan kadar yang lebih sedikit disebabkan keadaan kredit yang ketat.

Pun begitu, Presiden Fed St Louis, James Bullard pula memberitahu pada Isnin bahawa bank pusat itu mungkin perlu menaikkan penanda aras kadar faedahnya sebanyak setengah mata lagi tahun ini.

Hal ini secara tidak langsung memberi sedikit sokongan buat US dolar dan turut menunjukkan bahawa penggubal dasar Fed mempunyai pandangan berbeza perihal kadar faedah.

Sementara itu, perbincangan Presiden AS Joe Biden dan Speaker Dewan Republikan Kevin McCarthy masih belum mencapai kesepakatan dan rundingan akan diteruskan oleh wakil kedua-dua pihak.

Beralih ke pergerakan mata wang utama, euro dan pound masing-masing didagangkan mendatar menjelang terbitan data PMI pembuatan dan perkhidmatan pada sesi Eropah.

Selain itu, dolar Aussie dan New Zealand juga didagangkan hampir tidak berubah, dengan pelabur dolar kiwi kini lebih berwaspada menanti mesyuarat polisi Reserve Bank of New Zealand (RBNZ).

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat