Dilema Polisi Ketat Atau Longgar, Pasaran Tunggu Jawapan FOMC Minggu Ini!

197
  • Yen susut ke paras terendah sejak 1990 berbanding USD
  • Mesyuarat FOMC jadi acara tumpuan utama minggu ini, penentu hala tuju pasaran
  • Data pekerjaan NFP bakal diperhatikan di penghujung minggu

Minggu ini akan menambahkan debaran buat para pelabur dalam pasaran yang bakal berdepan beberapa data penting dan berpotensi mengubah lanskap pergerakan harga pada skala yang besar.

Susulan bacaan kadar inflasi terbaru di Amerika Syarikat (AS) menunjukkan peningkatan semula, apakah pandangan dan tindakan yang bakal diambil oleh Federal Reserve (Fed)?

Justeru, minggu ini pasaran akan memberi tumpuan terhadap keputusan mesyuarat FOMC awal pagi Khamis nanti untuk mendapatkan petunjuk lebih jelas terhadap hala tuju dasar monetari bank pusat.

Data ekonomi yang diterbitkan pada minggu lalu termasuk pertumbuhan suku pertama 2024 di AS kembali menunjukkan kecenderungan untuk Fed menuju ke arah pelonggaran dasar berikutan bacaan data yang suram.

US dolar yang bergerak lemah minggu lalu walau bagaimanapun berjaya paparkan pemulihan pada dagangan penghujung minggu.

Data indeks harga PCE menjadi tumpuan pada sesi terakhir minggu lalu dengan angka yang diterbitkan menepati ramalan pasaran.

Pengguna dilihat masih kekal berbelanja dan ini tidak akan mendorong kepada penurunan inflasi dan berpotensi akan menyokong prestasi US dolar.

US dolar kukuh ke paras tertinggi 34 tahun berbanding Yen ketika mata wang negara matahari terbit itu alami penyusutan lebih ketara selepas mesyuarat polisi bank pusat Jepun (BOJ) berlangsung pada Jumaat.

BOJ umumkan bahawa ahli mesyuarat bersetuju untuk mengekalkan kadar faedah dan BOJ turut memansuhkan kenyataan polisi yang merujuk kepada pembelian bon kerajaan Jepun yang bernilai anggaran 6 trilion Yen setiap bulan.

Gabenor Kazuo Ueda juga turut mengulangi bahawa mereka akan mengubah tahap pelonggaran polisi jika trend inflasi semakin meningkat tinggi.

Yen jatuh hingga bawah paras 158.00 berbanding US dolar pada penutup dagangan penghujung minggu lalu.

Pasaran kekal waspada dengan potensi langkah campur tangan berkemungkinan berlaku di Jepun susulan prestasi buruk Yen ketika ini.

Selain mesyuarat FOMC, pasaran juga akan memberikan tumpuan kepada laporan data pekerjaan NFP AS di penghujung minggu serta beberapa data utama lain yang bakal memberi impak besar pada dagangan minggu ini.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat