Rundingan AS-China – Apa itu Perjanjian Perdagangan Fasa Pertama?

255

Perjanjian Perdagangan Fasa Pertama yang diumumkan pada Jumaat lalu oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sebagai kesepakatan yang dipersetujui bersama dengan China telah membawa reaksi yang berbeza dalam pasaran saham dan pasaran kewangan.

Dolar Amerika gagal mengekalkan pengukuhannya kerana ‘perjanjian besar’ yang dimaksudkan oleh Trump, dilihat sebagai ‘perjanjian sementara’ oleh penganalisis di samping tiada isu-isu yang lebih utama dibincangkan dalam perjanjian ini.

Antara perkara yang digariskan dalam perjanjian tersebut adalah isu tarif yang menjadi faktor utama China untuk berunding dengan AS. Pentadbiran Trump bersetuju untuk menangguhkan penambahan tarif $250 bilion barangan import China yang sepatutnya akan mula dilaksanakan pada 15 Oktober.

Tindakan tersebut adalah sebagai balasan kepada China untuk membeli produk pertanian AS yang bernilai $40 hingga $50 bilion setiap tahun. Bagaimanapun, isu tarif yang akan mula dilaksanakan ke atas China pada Disember ini pula tidak disentuh dalam perjanjian ini.

Jika sebelum ini Trump menuduh China sebagai pemanipulasi matawang kerana menetapkan nilai yuan pada paras terendah, menerusi perjanjian ini, AS dan China turut mencapai kesepakatan berhubung ketelusan dalam pasaran pertukaran asing dan pasaran bebas.

Selain itu, perjanjian tersebut juga perlu ditulis dan ia mengambil masa sehingga lima minggu untuk disiapkan. Ini menyebabkan pelabur kekal berwaspada kerana dalam tempoh tersebut pelbagai kemungkinan akan berlaku.

Kekhuatiran bertambah apabila Trump turut menyatakan bahawa beliau tidak menolak kemungkinan bahawa perjanjian tersebut boleh terlerai dalam tempoh tersebut.

Susulan daripada perjanjian tersebut, China dilaporkan ingin mengadakan perbincangan yang lebih lanjut dengan AS sebelum memuktamadkan perjanjian fasa pertama itu.

Dengan perbincangan yang diteruskan, pelabur akan terus memantau perkembangannya dan isu-isu yang timbul yang melibatkan rundingan ini dengan lebih dekat.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat