Trader Dikejutkan Dengan ‘Gap’ Pada Carta Mata wang, Apa Dah Berlaku?

371

Malang buat US dolar selepas ia gagal mempertahankan pengukuhan dengan mencatat penyusutan ketara susulan bacaan menyuramkan dalam laporan pekerjaan NFP Amerika Syarikat.

Walaupun pertambahan dalam pekerjaan pada Oktober melebihi jangkaan, namun terdapat tanda-tanda kelembapan ekoran kadar pengangguran yang lebih tinggi dan pertumbuhan upah lebih rendah.

Jabatan Buruh melaporkan peningkatan sebanyak 261,000 dalam pekerjaan AS pada bulan lalu, lebih baik daripada jangkaan untuk kenaikan 197,000. Namun, menurun daripada catatan sebelum ini sebanyak 315,000 pada September.

Sementara kadar pengangguran pula meningkat kepada 3.7% daripada 3.5% yang dicatatkan sebelumnya, dan juga meleset daripada jangkaan untuk hanya sedikit meningkat pada 3.6%.

US dolar yang pada mulanya meningkat, jatuh mendadak sebaik sahaja laporan tersebut dikeluarkan.

Turut mempengaruhi pergerakan harga raja mata wang adalah khabar angin daripada China yang mengatakan ia akan melonggarkan sekatan Covid-19.

Susulan laporan itu, sentimen pasaran bertukar positif sekali gus memberi sokongan untuk kebanyakan mata wang utama melonjak tinggi menjelang penutupan dagangan hujung minggu lalu.

Meskipun begitu, keuntungan tersebut gagal dikekalkan apabila pada hujung minggu Beijing menafikan khabar tersebut, malah, ia turut menyaksikan kes jangkitan Covid-19 meningkat tinggi.

Dengan jangkaan pasaran akan kembali berisiko pada awal minggu, ini menjawab persoalan kepada pergerakan US dolar pada sesi Asia hari ini untuk dibuka lebih tinggi, di mana ‘gap’ dapat dilihat pada kebanyakan carta pasangan mata wang utama.

Tumpuan seterusnya buat raja mata wang itu adalah penerbitan data inflasi Amerika Syarikat pada hari Khamis yang bakal menentukan sama ada tekanan harga di negara itu masih kuat atau tidak selepas beberapa siri langkah pengetatan diambil bank pusat.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat