USD Kembali Bangkit, Pasaran Tunggu ‘Kejutan’ BOJ!

642

US dolar kembali mencari sokongan untuk meningkat semula pada sesi Asia selepas mengakhiri dagangan hari Khamis dengan lebih rendah.

Indeks dolar dilihat mendaki pada sekitar harga 105.50 berbanding sekumpulan mata wang utama, menghampiri paras tertinggi enam bulan 105.73 yang dicapainya ketika awal sesi New York semalam.

Data yang diterbitkan pada sesi terdahulu menunjukkan pasaran buruh Amerika Syarikat terus kukuh, menyaksikan penurunan dalam tuntutan pengangguran mingguan ke paras terendah sejak Januari.

Namun, USD dikecewakan oleh indeks pembuatan Philly Fed pula menguncup 13.5 pada bulan September dan jualan rumah sedia ada jatuh pada bulan Ogos dengan kadar tahunan 4.04 juta,

Sementara itu, hasil perbendaharaan AS 10 tahun pula melanjutkan kenaikan ke paras terkuat sejak 2007 pada 4.50% berikutan jangkaan Federal Reserve akan terus menaikkan kadar faedah.

Pengukuhan itu memberi tekanan buat mata wang yen untuk terus didagangkan lemah pada paras terendah 10 bulan menjelang mesyuarat polisi Bank of Japan (BOJ) pada hari ini.

Dalam pada itu, mata wang pound tergelincir lebih jauh ke paras terendah enam bulan berbanding US dolar selepas dikejutkan oleh keputusan Bank of England (BOE).

Bank pusat itu menentang jangkaan pasaran untuk menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas, dengan mengekalkannya tidak berubah pada mesyuarat polisi yang berlangsung pada Khamis.

Keputusan tersebut dibuat dengan undian yang sangat tipis, 5-4, menunjukkan perpecahan pendapat antara pembuat dasar BOE sama ada mahu meneruskan kenaikan atau membiarkan kadar tidak berubah.

Tumpuan pelabur seterusnya akan beralih kepada penerbitan data PMI pembuatan dan perkhidmatan UK, Zon Eropah dan Amerika Syarikat pada hari ini.

Pasaran sesi Asia turut menyaksikan euro kekal didagangkan lemah pada paras terendah enam bulan berbanding US dolar, manakala dolar Aussie dan New Zealand terus diniagakan di bawah tekanan susulan greenback yang lebih kuat.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat