Bacaan Data PMI Yang Bercampur Beri Tekanan Terhadap Matawang Euro

191

Dagangan pada sesi Eropah hari ini memperlihatkan matawang euro melonjak susulan penerbitan data PMI Pembuatan di Jerman mencatatkan peningkatan yang menjangkaui jangkaan pasaran.

Data PMI Perkhidmatan Perancis bagi November 2019 kekal tidak berubah daripada bacaan yang dicatatkan bulan Oktober pada 52.9, tersasar sedikit daripada jangkaan oleh pasaran pada 53.0. Bagaimanapun, pesanan dan pekerjaan baru menunjukkan kenaikan pada kadar yang kukuh.

Hal ini berlaku sebaliknya kepada data PMI Pembuatan Perancis yang memperoleh peningkatan kepada 51.6 daripada bacaan terdahulu pada 50.7, mengatasi jangkaan pasaran yang diunjurkan pada 50.9. Pembacaan ini menunjukkan peningkatan yang paling cepat dalam sektor perkilangan dalam tempoh lima bulan.

Sementara data PMI Pembuatan di ekonomi terbesar Eropah iaitu Jerman meraih pengukuhan dengan kenaikan kepada 43.8 pada November daripada 42.1 yang direkodkan pada Oktober, jauh meninggalkan unjuran pasaran pada 42.9. Namun, pembacaan ini masih menunjukkan kepada penguncupan sektor perkilangan walaupun dengan kadar perlahan.

Data PMI Perkhidmatan pula mencatatkan penurunan kepada 51.3 daripada catatan 51.6 pada bulan lalu, susut daripada yang dijangkakan oleh pasaran untuk meningkat kepada 52.0. Jumlah pesanan baru yang menyusut untuk bulan kelima berturut-turut menunjukkan pembacaan ini merupakan perkembangan yang paling perlahan sejak September 2016.

Selanjutnya, data PMI Pembuatan di Zon Eropah untuk bulan November meningkat kepada 46.6 daripada 45.9 bacaan terdahulu, mengatasi jangkaan pasaran pada 46.6. Bagaimanapun, pembacaan PMI Perkhidmatan menunjukkan kemerosotan kepada 51.5 berbanding bacaan bulan lalu pada 52.2, tersasar daripada jangkaan 52.4.

Susulan itu, reaksi euro terhadap data PMI yang bercampur-campur kembali menyusut selain pasaran turut menilai kenyataan daripada Presiden Bank Pusat Eropah (ECB) Christine Lagarde mengenai dasar monetari dilihat akan meneruskan legasi Mario Draghi dalam pentadbirannya.

Sementara itu, dagangan pound turut mempamerkan penyusutan berbanding dolar USD menjelang penerbitan data PMI UK sebentar lagi.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat