BOJ Mengekalkan Kadar Faedah Yang Rendah Seperti Jangkaan Pasaran

573

Bank of Japan (BOJ) akhirnya mengumumkan keputusan mesyuarat dasar monetari untuk bulan April setelah dinanti-nantikan oleh para pelabur.

Seperti jangkaan, BOJ telah mengekalkan kadar faedah di paras -0.10% tidak berubah seperti sebelum ini dan turut mengemaskini unjuran untuk tindakan kenaikan kadar yang seterusnya.

Bank pusat akan terus mengekalkan kadar faedah di paras yang rendah untuk tempoh yang agak panjang sekurang-kurangnya sehingga musim bunga 2020. Sasaran hasil pulangan 10-tahun juga masih kekal di paras sifar(0%).

Kadar inflasi dijangka akan meningkat secara beransur-ansur ke paras 2% namun akan mengambil masa yang sedikit lama untuk mencapai sasaran tersebut.

BOJ komited untuk menyumbang ke atas kelangsungan dasar pelonggaran yang lebih mantap dengan mengambil kira kenaikan cukai jualan dan juga faktor ketidaktentuan ekonomi luar negara.

Selain itu juga, penambahbaikkan adalah perlu untuk memastikan tahap ekonomi dan kewangan dalam keadaan yang stabil.

BOJ memantau kadar kenaikan harga dan jangkaan terhadap inflasi yang kekal perlahan berbanding dengan perkembangan ekonomi dan pasaran pekerjaan. Momentum ekonomi untuk mencapai sasaran harga masih baik namun dilihat masih perlahan. Antara faktor yang mempengaruhi adalah pada kadar eksport negara dan juga pengeluaran.

Tiada tanda-tanda jangkaan untuk peningkatan yang ketara pada aset pasaran dan aktiviti pada institusi kewangan. Tekanan yang berpanjangan ke atas keuntungan institusi kewangan dari kadar yang rendah akan menjejaskan kestabilan pada sistem kewangan.

BOJ turut mempertimbangkan pengenalan kepada fasiliti pinjaman ETF untuk memudahkan pinjaman ETF kepada peserta dalam pasaran.

Tarikh akhir untuk peruntukan dana bagi merangsang pinjaman bank dilanjutkan sehingga 30 Jun 2021 dan akan mempengaruhi pertumbuhan ekonomi.

Secara keseluruhannya, mesej yang disampaikan dalam kenyataan mesyuarat polisi oleh bank pusat Jepun masih dilihat sebagai dovish berdasarkan kesukaran untuk mencapai sasaran inflasi. Pasaran sedang menantikan pula laporan berkenaan kenyataan susulan oleh Gabenor bank pusat, Haruhiko Kuroda selepas keputusan mesyuarat diumumkan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat