Bursa Malaysia ‘Kemerah-Merahan’ Sejak Pembukaan

239

Bursa Malaysia kekal rendah pada hari Selasa berikutan sentimen berhati-hati menjelang pengumuman kadar dasar semalaman (OPR) dan keputusan Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) China.

Tepat pukul 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 16.21 mata kepada 1,523.06 daripada penutupan Isnin pada 1,539.27.

Semasa sesi pagi, indeks penanda aras dibuka 1.35 mata lebih rendah pada 1,537.92 sebelum ia jatuh ke paras 1,518.84 yang merupakan tahap terendah hari ini.

Sentimen pasaran secara menyeluruh adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung iaitu sebanyak 678 berbanding 239. Manakala, 418 kaunter tidak berubah, 916 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 2.10 bilion unit yang bernilai RM1.40 bilion.

Menurut Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak leng berkata para pelabur memberi tumpuan kepada NPC yang diadakan pada hari ini (Selasa) untuk meramalkan momentum dalam pasaran.

Katanya lagi, fokus pasaran kini beralih kepada sesi perundangan tahunan China hari ini untuk menentukan belanjawan kerajaan bagi menangani ekonomi China yang lembap.

Sementara itu, Bank Negara Malaysia akan mengumumkan OPR pada Khamis ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Malayan Banking Bhd (Maybank) susut empat sen kepada RM9.56, CIMB Group Holdings Bhd susut lapan sen kepada RM6.37, Tenaga Nasional Bhd (TNB) susut 16 sen kepada RM11.04, Petronas Chemicals Group Bhd susut 12 sen kepada RM6.76 dan Public Bank Bhd tidak berubah pada RM4.30.

Antara saham aktif, Widad Group Bhd susut satu sen kepada 10 sen, Harvest Miracle Capital Bhd susut setengah sen kepada 13.5 sen, Fitters Diversified Bhd dan Ekovest Bhd masing-masing tidak berubah pada lima sen dan 45 sen dan TWL Holdings Bhd naik setengah sen kepada 45 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 99.77 mata kepada 11,317.32, Indeks FBMT 100 menyusut 99.80 mata kepada 10,984.51, Indeks FBM ACE turun 38.43 mata kepada 4,711.93, Indeks FBM Emas Shariah rugi 115.17 mata kepada 11,328.32 dan Indeks FBM 70 turun 68.71 mata kepada 15,331.42.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 100.45 mata kepada 17,153.07, Indeks Perladangan susut 115.58 mata kepada 7,180.52, Indeks Tenaga susut 10.15 mata kepada 903.61 serta Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 2.039 mata kepada 173.60 mata.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat