Hebat Debut Syarikat Ini!

431

Syarikat pengeluar perabot kediaman, Mobilia Holdings Bhd. membuat kemunculan pertama yang kukuh di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini apabila harga sahamnya mencecah 65 sen pada awal dagangan iaitu premium sebanyak 42 sen daripada harga tawaran pada 23 sen.

Lapor Bernama, ketika sesi dagangan dibuka, sejumlah 17.07 juta saham syarikat berkenaan saling berpindah tangan.

Menurut Pengurus Pembangunan Perniagaannya, Ervin Quek Yan Song, pihaknya amat optimis terhadap prospek berikutan kekuatan daya saing serta daya tahan pasaran perabot rumah yang terus menjana permintaan global susulan pertumbuhan keperluan perumahan.

Ujarnya lagi, pada masa ini, produk syarikat tersebut dieksport ke lebih 45 negara dengan sebahagian besar pendapatannya disumbangkan oleh pelanggan dari Amerika Utara, Asia, Eropah, Amerika Selatan, Afrika Utara serta Malaysia.

“Mobilia akan terus berhubungan dengan pelanggan di dalam dan luar negara bagi meningkatkan lagi jumlah pelanggan,” katanya pada sidang media secara maya sejurus penyenaraian syarikat terbabit hari ini.

Tambah Yan Song, perbelanjaan melibatkan perabot global diunjur berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 2.8% manakala eksport perabot negara dijangka bertambah pada CAGR 5.0%.

Jelas beliau, walaupun berlaku pandemik Covid-19, Mobilia masih meneruskan usaha pemasaran dengan sesi libat urus bersama mereka yang berpotensi menjadi pelanggan selain melakukan penyelidikan untuk mengenal pasti pelanggan baharu.

Bagi tahun kewangan 2020 yang terjejas akibat pandemik, perolehan Mobilia susut kepada RM44.7 juta daripada RM75.6 juta yang diraih pada tahun kewangan 2019.

Mengulas prestasi berkenaan, Yan Song berkata, pihaknya kekal optimis bahawa industri akan pulih lebih cepat sewaktu fasa pasca pandemik berikutan faktor seperti pertambahan bilangan mereka yang bekerja dari rumah.

Ujarnya, faktor itu akan turut membantu meningkatkan permintaan bagi perabot kediaman selain dapat menampung impak pandemik terhadap industri tersebut.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat