Ini Sebab AUD Kukuh Walaupun Data Pekerjaan Australia Lemah

495

Sesi pasaran Asia pada hari ini memaparkan data penting iaitu laporan pekerjaan di Australia untuk membantu penelitian bank pusat terhadap perkembangan pasaran pekerjaan yang mana menjadi salah satu data petunjuk untuk perubahan pada polisi monetari semasa.

Namun, data yang diterbitkan agak mengejutkan apabila mencatatkan angka pertambahan pekerjaan yang rendah dengan angka 500 pekerjaan sahaja untuk bulan Jun jauh lebih rendah berbanding angka 45,300 pekerjaan pada bulan Mei.

Angka tersebut juga jauh lebih rendah berbanding jangkaan penurunan 9,100 pekerjaan oleh pasaran. Sementara, kadar pengangguran kekal tidak berubah di paras 5.2%.

Lebih menghairankan lagi apabila susulan data dikeluarkan, dagangan dolar AUD melonjak menandakan pengukuhan matawang Australia itu berkontradiksi dengan laporan pekerjaan yang lemah.

Jika dilihat pada data yang dikeluarkan sebentar tadi, turut dikeluarkan bersama adalah data tinjauan perniagaan oleh National Australia Bank (NAB) untuk suku tahun kedua. Bacaan data menunjukkan angka yang meningkat kepada 6 mata berbanding penurunan 1 mata pada suku sebelumnya.

Ini menunjukkan perkembangan yang positif dalam sektor perniagaan di Australia. Data ini memberi petunjuk terhadap keadaan perniagaan dengan ramalan untuk jangka masa pendek dan sederhana.

Seterusnya, kadar pertambahan pekerjaan yang rendah sememangnya sudah dijangkakan oleh pasaran berikutan pertambahan yang ketara pada bulan Mei dengan dua kali ganda kadar pertambahan angka berbanding bulan Mac dan April.

Justeru, bacaan rendah pada laporan hari ini tidaklah begitu mengejutkan pasaran.

Seterusnya, kadar pengangguran turut memainkan peranan dalam menyumbang kenaikan pada dagangan Aussie hari ini. Kadar pengangguran yang kekal di paras 5.2% memberi ruang untuk Reserve Bank of Australia (RBA) untuk mengekalkan dasar monetari untuk bulan Ogos, berbanding jangkaan penurunan berterusan setelah bank pusat menurunkan kadar dua bulan berturut-turut ke paras terendah dalam sejarah penetapan kadar.

Pasaran masih lagi menjangkakan tindakan penurunan kadar oleh RBA pada mesyuarat November, namun berdasarkan data pekerjaan yang lemah sebentar tadi memberikan risiko yang tinggi untuk posisi yang terlalu awal dalam pasaran.

 

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat