Ini Situasi Bursa Malaysia Pada Awal Minggu

250

Bursa Malaysia mencatatkan urus niaga yang rendah ketika dibuka pagi ini.

Pada 9.12 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 3.34 mata kepada 1,622.85 daripada paras 1,626.19 semasa ditutup pada urus niaga Jumaat minggu lepas.

Bernama melaporkan, indeks utama meningkat 2.28 mata kepada 1,628.47 pada pukul 9 pagi dan kemudiannya mula turun satu minit selepas diniagakan.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung dengan 324 berbalas 268 manakala 358 kaunter tidak berubah, 1,287 tidak diniagakan dan 37 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 836.49 juta saham bernilai RM340.87 juta.

Menurut Public Bank Investment Bank Bhd, para pelabur sedang ‘menghadam’ langkah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) untuk tidak melanjutkan tempoh rehat peraturan sementara pandemik yang berakhir bulan ini serta harga minyak yang kembali meningkat daripada penurunan teruk baru-baru ini.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, PBBank dan PChem masing-masing memperoleh satu sen kepada RM4.24 dan RM8.23 sementara Tenaga naik 20 sen kepada RM10.76.

Bagaimanapun, Maybank turun satu sen kepada RM8.37.

Bagi kaunter paling cergas, Macpie meningkat 11.5 sen kepada 67 sen dan warannya naik setengah sen kepada 12.5 sen manakala Dynacia dan AT Systemazation Bhd, masing-masing tidak berubah pada 15 sen serta 11.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas lemah 26.93 mata kepada 11,896.28, FBMT 100 turun 29.59 mata kepada 11,571.99 dan FBM Emas Syariah menyusut 32.22 mata kepada 13,197.67.

FBM 70 lebih rendah 62.37 mata kepada 15,626.97 tetapi FBM ACE meningkat 140.77 pada 10,775.64.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 2.51 mata kepada 15,507.14, Indeks Perladangan susut 16.46 mata kepada 7,159.16 sementara Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.35 mata pada 193.48.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat