Ini Yang Pelabur Kena Bersedia Menjelang Sesi New York!

493

Menghampiri penutup dagangan pada minggu ini, pelabur perlu bersedia untuk gelora yang menanti pada pembukaan sesi New York sebentar lagi.

Menjadi tumpuan utama adalah penerbitan laporan data pekerjaan Kanada pada jam 8.30 malam waktu tempatan.

Jika dinilai berdasarkan ramalan pada komponen data, pertambahan pekerjaan bagi bulan Mei dijangka lebih rendah berbanding bulan sebelumnya iaitu sebanyak 21,200 berbanding 41,400.

Sementara, kadar pengangguran pula diramal meningkat dari 5.0% kepada 5.1%.

Jadi, berdasarkan ramalan, sektor buruh Kanada pada Mei adalah lebih suram dan ini bakal mempengaruhi keputusan dasar monetari bank pusat Kanada yang seterusnya.

Pada Rabu lalu, keputusan mesyuarat polisi oleh Bank of Canada (BOC) telah mengejutkan pasaran dengan menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas berbanding jangkaan untuk mengekalkannya.

Langkah yang diambil itu dilihat mengikuti jejak Reserve Bank of Australia (RBA) yang lebih dahulu melakukan kejutan yang sama itu pada Selasa.

Namun, jika data-data ekonomi utama yang menjadi indikator bagi BOC selepas ini diterbitkan dengan bacaan yang suram, berkemungkinan BOC akan menukar kembali haluannya ke arah lebih pasif semula.

Umum diketahui sekiranya pengetatan dasar yang dibuat oleh bank pusat terlalu agresif dan berterusan, akan memberi kesan yang buruk kepada ekonomi negara mereka.

Justeru, penting untuk bank pusat menilai kesan terhadap ekonomi semasa di atas dasar monetari yang dilaksanakan mereka.

Seterusnya, pasaran akan bersiap sedia untuk mesyuarat polisi bank pusat Eropah (ECB), bank pusat Jepun (BOC) dan menjadi tumpuan utama adalah mesyuarat FOMC.

Selain itu, data-data penting yang akan menjadi perhatian pasaran adalah seperti data pekerjaan UK dan Australia, data CPI, PPI dan jualan runcit Amerika Syarikat dan beberapa lagi.

Pastinya gelora pasaran minggu ini akan berubah kepada ombak yang lebih besar pada minggu hadapan. Pelabur perlu bersiap sedia!

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat