Jadi Tumpuan Sesi Asia, Ini Intipati Minit Mesyuarat RBA Terbaru

415

Minit mesyuarat oleh Reserve Bank of Australia (RBA) diterbitkan pada sesi Asia hari ini untuk mesyuarat polisi Jun menjadi tumpuan para pelabur.

Ahli jawatankuasa mesyuarat menyedari bahawa prestasi ekonomi global kini sedang berdepan penurunan yang ketara. Oleh itu, bank pusat terus mengekalkan sasaran bagi hasil pulangan bon 3-tahun sehinggalah perkembangan baik dapat dilihat menuju objektif bank pusat mahukan iaitu kadar pekerjaan maksima dan sasaran inflasi.

RBA turut menyatakan bahawa kadar faedah tidak akan dinaikkan sehingga mencapai sasaran pekerjaan dan inflasi.

Bank pusat melihat untuk tempoh terdekat, kadar jangkitan virus semakin perlahan di kebanyakkan negara dan jika berterusan, ekonomi global dijangka akan kembali pulih semula.

Ekonomi Australia dikatakan berdepan penguncupan ekonomi terbesar sejak 1930-an. Penguncupan berkemungkinan akan lebih buruk berbanding jangkaan sebelum ini.

Justeru itu, sokongan polisi fiskal dan monetari akan diperlukan untuk tempoh yang lebih panjang. Unjuran ekonomi kekal tidak menentu selagi kesan pandemik terus berlarutan terhadap ekonomi.

Pendekatan akomodatif akan dikekalkan selagi diperlukan. Ahli jawatankuasa mesyuarat bersetuju pakej polisi bank pusat yang dilaksanakan dapat membantu seluruh rakyat yang terkesan.

Menjadi tumpuan dalam minit apabila RBA menyatakan bahawa telah bersedia untuk meningkatkan lagi pembelian bon kerajaan jika keadaan memerlukan. Setakat mesyuarat terbaru, bank pusat hanya melakukan sekali sahaja pembelian bon kerajaan.

RBA turut memberi isyarat perancangan untuk merangka fasiliti dana bantuan dengan jumlah yang besar untuk beberapa bulan akan datang bagi menggantikan hutang semasa yang telah mencapai tahap matang.

Matawang dolar Australia walau bagaimanapun dilihat tidak memberi reaksi ketara dalam pasaran susulan minit mesyuarat tersebut diterbitkan.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat