Kiwi Mengukuh Pada Sesi Asia Didorong Oleh Data Imbangan Dagangan New Zealand

239

Dolar Amerika Syarikat terus diniagakan lemah pada sesi pasaran Isnin semalam berbanding matawang utama yang lain dengan faktor kelemahan masih lagi didorong oleh jangkaan penurunan kadar oleh Federal Reserve (Fed) beberapa kali untuk tahun ini.

Sementara ketegangan geopolitik antara Iran dan Amerika Syarikat memberi kelebihan kepada matawang safe-haven Yen untuk terus mengukuh.

Pelabur pada minggu ini memberi tumpuan pada rundingan dagang AS-China di mana Presiden Donald Trump dan Presiden Xi Jinping akan bertemu di persidangan kemuncak G20 di Jepun untuk isyarat perkembangan rundingan yang terus mempengaruhi kesihatan ekonomi global.

Pasaran yakin jika Washington dan Beijing gagal mencapai persetujuan rundingan, Fed terpaksa meneruskan tindakan pemotongan kadar faedah untuk membendung isu pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan terkesan oleh kadar tarif yang tinggi terhadap barangan import.

Amerika Syarikat juga dipercayai akan menambahkan lagi kadar tarif yang baru terhadap barangan China menjadikan jumlah tarif sebanyak 300 billion dolar dikenakan jika rundingan kali ini terus gagal mencapai kata putus.

Pound Sterling berlegar di sekitar paras ketinggian satu bulan pada dagangan semalam berbanding dolar Amerika berikutan pelabur yang berwaspada untuk memilih posisi dagangan yang besar buat matawang Britain itu sementara menunggu keputusan calon pengganti untuk kepimpinan Parti Konservatif selepas Theresa May melepaskan jawatan beliau.

Manakala Bank of England (BOE) turut mengeluarkan intonasi dovish pada mesyuarat dasar polisi minggu lalu mengakibatkan dagangan GBP terus berada dalam tekanan.

Beralih pada dagangan komoditi, matawang dolar Kanada masih lagi mendapat sokongan oleh faktor kestabilan pasaran minyak mentah didorong oleh konflik Iran dan Amerika Syarikat yang kembali hangat sejak minggu lalu membuatkan permintaan minyak mentah meningkat tinggi.

Selepas menuduh Tehran bertanggungjawab ke atas serangan kapal tangki minyak minggu lalu, Presiden Donald Trump semalam menulis kenyataan provokasi di akaun media sosial Twitter beliau dengan mengatakan negara-negara lain harus bertanggungjawab melindungi kapal tangki minyak mereka sendiri di Timur Tengah daripada bergantung perlindungan oleh Amerika Syarikat.

Dolar New Zeland (NZD) pada sesi pasaran Asia hari ini pula mula menunjukkan pengukuhan susulan data imbangan dagangan yang dikeluarkan mencatatkan bacaan yang positif. Lebihan dagangan berkembang kepada 264 juta dolar untuk bulan Mei 2019 berbanding 199 juta dolar pada bulan yang sama tahun lalu.

Angka tersebut juga adalah lebih tinggi berbanding 200 juta dolar lebihan dagangan jangkaan pasaran. Kadar eksport melonjak 8.5% unjuran tahun ke tahun sementara kadar import meningkat kepada 7.6%.

Dagangan dolar AUD pula dijangka lebih berisiko pada minggu ini dan pergerakan harga akan memberi respon daripada perkembangan rundingan dagang antara Amerika Syarikat dan China. Keputusan yang positif akan kembali menyokong Aussie dalam pasaran semasa.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat