Nestcon Bermula Kukuh di Pasaran ACE

182

Penyedia perkhidmatan pembinaan bangunan dan infrastruktur, Nestcon Bhd mula disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pagi ini pada harga 30 sen, premium sebanyak dua sen daripada harga penawarannya 28 sen.

Pada pembukaannya, kaunter syarikat berkenaan menyaksikan 28.4 juta saham bertukar tangan.

Syarikat itu berhasrat mengumpulkan hasil sebanyak RM45.1 juta daripada pelaksanaan tawaran awam permulaannya (IPO).

Pengarah Urusannya, Datuk Ir. Dr. Lim Jee Gin berkata, daripada jumlah hasil yang terkumpul, RM6.0 juta akan digunakan untuk mendirikan kemudahan sistem binaan berindustri (IBS) untuk bahagian bangunan syarikat itu, RM6.6 juta untuk pembelian mesin dan peralatan dan RM16.5 juta untuk pembayaran balik pinjaman bank.

“Sebanyak RM11.0 juta lagi akan digunakan untuk keperluan modal kerja, RM1.0 juta untuk menaik taraf perisian dan sistem dan selebihnya RM4.0 juta diperuntukkan untuk menampung perbelanjaan penyenaraian,” katanya.

Penyenaraian syarikat berkenaan melibatkan terbitan awam sebanyak 160.96 juta saham biasa baharu pada harga terbitan RM0.28 sesaham, yang mewakili 25% daripada modal saham syarikat yang diperbesar.

Bernama melaporkan, IPO Nestcon telah dilanggan secara berlebihan sebanyak 57.13 kali.

Jelas Jee Gin, pihaknya akan terus merancakkan segmen bangunan, kejuruteraan awam dan infrastrukturnya untuk mengukuhkan kedudukan pasarannya sebagai syarikat pembinaan yang komprehensif selain memperluas portfolionya untuk memasukkan projek baharu seperti tenaga boleh diperbaharui.

“Penambahan jentera dan peralatan baharu juga akan meningkatkan segmen kejuruteraan awam dan infrastruktur memandangkan kami kini sedang berusaha mendapatkan tender untuk projek berskala lebih besar,” ujarnya.

Pada peringkat makro, beliau menambah syarikat itu tetap optimis terhadap industri pembinaan, yang disokong oleh inisiatif dan perbelanjaan kerajaan yang berkaitan dengan pembangunan infrastruktur dan perumahan berserta percepatan usaha vaksinasi yang memainkan peranan penting dalam pemulihan ekonomi negara.

Bergerak ke hadapan, Jee Gin berkata, Nestcon mengunjurkan pertumbuhan yang lebih baik pada tahun-tahun mendatang, terutama dalam segmen kejuruteraan awam dan infrastruktur yang akan memainkan peranan dominan dalam pendapatan syarikat bagi tempoh tiga tahun akan datang.

Syarikat ini mempunyai perolehan nilai kontrak yang kukuh iaitu RM1.9 bilion dengan RM1.2 bilion masih belum dibil.

Pada masa yang sama, dari segi pengisian semula buku pesanannya, Nestcon mempunyai 40 tender kejuruteraan awam dan infrastruktur yang sedang berlangsung serta 11 tender pembinaan bangunan bernilai sekitar RM2.8 bilion.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat