KDNK AS Suku Pertama 2024 Merosot, Ini Terjadi Pada USD!

362

Menjadi kejutan pada dagangan sesi New York semalam apabila data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang menjadi tumpuan bank pusat hadir dengan bacaan yang jauh meleset dari ramalan.

Bacaan awal bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS untuk suku pertama 2024 catat pertumbuhan pada kadar 1.6%, meleset berbanding jangkaan 2.5%.

Ini telah menimbulkan spekulasi yang bercampur dan turut mempengaruhi pergerakan ketara bagi mata wang US dolar semalam.

Adakah ini menjadi petanda ekonomi terbesar di dunia itu sudah semakin terkesan dengan dasar yang ketat dikekalkan sebelum ini dan menunjukkan isyarat untuk menuju ke arah kemelesetan?

Ini juga akan mencetuskan kebimbangan terhadap pasaran global dan tempias kepada negara ekonomi gergasi yang lain.

Pada awal sesi New York, US dolar paparkan pengukuhan awal namun selepas data diterbitkan sehingga ke dagangan ke penghujung sesi itu, raja mata wang itu kembali melemah semula.

Kecenderungan pasaran dilihat akan beralih semula ke arah jangkaan untuk langkah pelonggaran polisi oleh Federal Reserve (Fed).

Petunjuk seterusnya akan diperhatikan Fed pada dagangan sesi New York yang menjadi sesi terakhir minggu ini, iaitu data indeks harga PCE yang mengukur perbelanjaan peribadi pengguna di Amerika.

Ini merupakan komponen inflasi yang menjadi penilaian Fed dalam penetapan dasarnya dan sering kali memberi impak besar dalam pasaran ketika diterbitkan.

Pasaran pada hari ini (Jumaat) turut memerhatikan keputusan mesyuarat Bank of Japan (BOJ) di sesi Asia untuk memantau petunjuk dari gabenor Kazuo Ueda berkenaan sebarang langkah campur tangan.

Mata wang Yen kekal berlegar di paras terendah 34 tahun berbanding US dolar, paras yang tidak pernah terlihat sejak tahun 1990.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat